Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman fitnah terhadap Anwar Ibrahim dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: “Perlaksanaan Sebuah Idealisme” pada Mac lepas.
Dr Mahathir, yang juga bekas perdana menteri selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Law Practice of Rafique di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 3 Mei lepas dengan menamakan Anwar selaku defendan tunggal.
Dalam pernyataan tuntutan, Mahathir mendakwa pada 18 Mac lepas, Pengerusi Pakatan Harapan itu telah memberikan ucapan di kongres berkenaan di Stadium Melawati, Shah Alam dan telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasi plaintif.
Menurut Mahathir antaranya termasuk kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk diberikan kepada anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu yang berpangkat tinggi.
Dakwa Dr Mahathir, kenyataan-kenyataan itu adakah tidak benar dan menjatuhkan imejnya sebagai seorang negarawan dan bekas perdana menteri.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM50 juta, ganti rugi teladan berjumlah RM100 juta dan perintah supaya defendan dengan serta-merta menarik balik kesemua kenyataan-kenyataan fitnah.
Katanya program itu juga telah dipaparkan secara siaran langsung di akaun Facebook ‘Anwar Ibrahim’ dan di Saluran Youtube ‘Parti Keadilan Rakyat’ selain klip-klip video atau laporan media mengenai kenyataan-kenyataan defendan telah ditonton atau disebar luas ke pelbagai rangkaian media massa serta media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Tiktok dan Youtube.
Sehubungan itu beliau turut memohon perintah mahkamah supaya defendan memadamkan kesemua kenyataan di media sosial atau media elektronik selain memohon perintah agar defendan membuat permohonan maaf secara bertulis kepada plaintif dan relif lain yang difikirkan sesuai.
Kes ditetapkan untuk pengurusan kes menerusi e-Review di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Jamhirah Ali pada 31 Mei ini.
Sementara itu, Anwar ketika ditemui di Banting berkata, beliau menyerahkan soal tuntutan saman fitnah yang dikemukakan oleh Mahathir untuk diuruskan oleh pihak peguamnya.
“Biar peguam jalankan (tanggungjawabnya),” katanya mengulas ringkas pertanyaan pemberita berhubung tuntutan saman berkenaan.