- Iklan -
Berita

Penduduk Kampung Koskan Tambahan rayu campur tangan MB Selangor susulan arahan pengusiran

Penduduk juga mahu hitam putih berhubung rumah yang bakal dianugerahkan sekiranya mereka bersetuju untuk berpindah dari kampung itu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Penduduk Kampung Koskan Tambahan memegang sepanduk dan papan tanda semasa bantahan terhadap arahan pengusiran di Serendah, Selangor, 2 Mei.
Penduduk Kampung Koskan Tambahan memegang sepanduk dan papan tanda semasa bantahan terhadap arahan pengusiran di Serendah, Selangor, 2 Mei.

Sebanyak 12 keluarga yang sudah menetap lebih 40 tahun di sebuah perkampungan di Serendah, Selangor masih menunggu nasib yang bakal menimpa mereka, dan kini mengharapkan campur tangan menteri besar susulan arahan mengusir mereka.

Seorang pegawai mahkamah untuk menguatkuasakan perintah pengosongan di Kampung Koskan Tambahan juga gagal hadir seperti yang dijadualkan pagi ini, ketika penduduk bersedia dengan sepanduk untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka.

Pengerusi Jawatankuasa bertindak kampung, Maszahar Hashim berkata penduduk kampung berharap agar Menteri Besar, Amirudin Shari menyediakan hitam putih berhubung janji memberikan rumah kos sederhana sebagai ganti tanah mereka.

"Setakat ini beliau hanya umum di media, tetapi tiada surat kepada kami.

“Kami tiada masalah untuk menerima rumah yang akan dianugerahkan," katanya dalam sidang media hari ini.

Ujar Maszahar, mereka tiada tempat lain untuk berlindung sekiranya rumah mereka dirobohkan dalam tempoh terdekat. 

Katanya penduduk memohon geran tanah seawal 2006 namun dimaklumkan tanah tersebut merupakan rizab sungai.

Bagaimanapun, beberapa tahun kemudian penduduk mendapat tahu tanah kampung mereka telah menjadi milik sebuah syarikat swasta.

Mereka turut menghantar memorandum kepada Amirudin semasa satu program Aidilfitri baru-baru ini. 

Pentadbir Tanah Hulu Selangor, Mohamad Hanafe Basri dalam satu kenyataan memberitahu tanah yang dimohon penduduk ialah tanah persendirian yang diberi milik sejak 133 tahun lalu (Jun 1890). 

"Pemilik asal kemudiannya telah menjual tanah ini kepada Panca Resmi Sdn Bhd pada 1991," menurut satu kenyataan.