- Iklan -
Berita

Siapa menteri-menteri yang tidak penuhi jangkaan?

Saudara-mara dan rakan-rakan bertukar pandangan mengenai barisan Kabinet dan prestasi beberapa menteri setakat ini.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Kabinet kali pertama pada 5 Disember 2022. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Kabinet kali pertama pada 5 Disember 2022. Gambar: Bernama

Cuti perayaan Aidilfitri membuka ruang kepada sanak-saudara untuk berkumpul di kampung setelah lama tidak bertemu. 

Tidak boleh tidak, topik yang banyak dibualkan ialah kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang ditubuhkan kurang setahun lepas. 

Antara mereka, ramai yang memberikan ulasan mengenai pendekatan, polisi dan prestasi kerajaan. 

Namun topik yang tidak kurang menarik perhatian ramai ialah menteri-menteri kerajaan campuran. 

Beberapa tindakan kontroversi yang diambil sebahagian menteri dilihat mencalarkan kredibiliti mereka. 

Salah seorangnya ialah menteri kesihatan, Dr Zaliha Mustapa. 

Seorang doktor di selatan tanah air berkata, tindakan menteri kesihatan itu mengeluarkan nikotin daripada senarai racun ibarat meruntuhkan moral petugas kesihatan awam. 

"Ramai doktor yang menentang perkara itu. 

“Ditambah pula dengan isu yang tidak selesai seperti waktu kerja berpanjangan, doktor kontrak dan lain-lain," katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan. 

Kerajaan mengambil keputusan membuang nikotin daripada senarai racun susulan pengenalan cukai vape dan rokok elektronik pada April lepas. 

Menurut doktor itu, meskipun ada isu yang dilihat berlaku lama sebelum Zaliha mengambil alih tampuk kepimpinan Kementerian Kesihatan (KKM), jawapan yang diberikan oleh beliau tidak meyakinkan petugas bawahan.

Ia tidak membantu apabila KKM mengingatkan penjawat awam agar tidak terlibat dalam perhimpunan haram apabila ada ura-ura mogok doktor kontrak ingin diadakan sekali lagi pada awal bulan ini. 

"Hendak ugut buat apa? 

“Bukannya menyelesaikan masalah mereka (doktor kontrak)," katanya.

Ketika ditanya mengenai beberapa portfolio, ramai yang menyimpan pandangan dan tidak banyak yang dituturkan. 

Antaranya Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu. 

Sementara itu, seorang penduduk di kawasan Cheras, Mohd Shah Mohd Saleh yang beraya di Terengganu pula berkata, meskipun dia mahu melihat Perdana Menteri Anwar Ibrahim menamatkan penggal penuh selama lima tahun, barisan Kabinet bagaimanapun perlu dirombak.

"Fahmi Fadzil perlu ditukar. Nampak seperti tidak berfungsi dan flip-flop," katanya merujuk kepada menteri komunikasi dan digital itu. 

Fahmi mencetuskan kontroversi tersendiri apabila menegur sebuah akhbar tempatan berhubung laporan berita mengenai jangkaan Kadar Polisi Semalaman (OPR). 

Di laman Twitter, Fahmi ditegur beberapa pihak kerana tidak responsif dengan asakan atau tuduhan daripada penyokong Pakatan Harapan (PH) kepada pihak pembangkang. 

Sebaliknya beliau dilihat aktif memberi maklum balas kepada penyokong PH berhubung tindakan yang akan diambil kepada penyokong Perikatan Nasional (PN).

Menurut Mohd yang bekerja di sektor peruncitan, pengarah komunikasi PKR yang pernah menjawab panggilan telefon pada satu sidang media itu dilihat tidak matang dan kurang pandai mengendalikan media. 

Di Kelantan, timbalan perdana menteri yang juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kekal tidak popular. 

Seorang warga tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Yusuf Awang berkata ia menjadi penghalang kepada rakyat Kelantan untuk memberi sokongan kepada kerajaan baru. 

"Bukan tak mahu menyokong Anwar, tapi sampai sekarang kami tak boleh terima mengapa beliau pilih untuk bekerjasama dengan Zahid," katanya.

Menurut mereka, ia akan menjadi faktor yang mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan Darul Naim itu kurang tiga bulan dari sekarang.

Zahid yang menang dengan hanya majoriti 348 undi di Bagan Datuk merupakan tokoh kontroversi yang menjadi sebahagian daripada kerajaan Anwar walaupun sebelum itu menjadi sasaran kempen PH kerana kes-kes rasuah beliau membabitkan wang Yayasan Akal Budi, selain kes Visa Luar Negara.

Nama lain yang turut mendatangkan rungutan ialah Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang menjadi “wajah” kerajaan dalam soal menguruskan inflasi dan kenaikan harga barang.

Menurut kebanyakan mereka, ahli Parlimen Pandan masih belum menunjukkan prestasi memuaskan selama beberapa bulan memegang portfolio itu.