- Iklan -
Berita

Selepas Amanah mohon maaf, Muda ambil pendirian rasmi bantah pengampunan Najib

Parti berasaskan belia itu berkata pengampunan untuk Najib memberi mesej bahawa mana-mana individu berpengaruh tidak perlu takut kepada undang-undang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera Muda dan Perikatan Nasional berkibar ketika kempen PRN Johor pada Mac tahun lepas. Gambar: Bernama
Bendera Muda dan Perikatan Nasional berkibar ketika kempen PRN Johor pada Mac tahun lepas. Gambar: Bernama

Muda hari ini berkata sebarang permohonan pengampunan diraja untuk bekas perdana menteri Najib Razak harus ditolak, sehari selepas Amanah memohon maaf atas kenyataan yang sama dikeluarkan pengarah komunikasinya sehingga menimbulkan kecaman daripada Umno, rakan parti komponen dalam kerajaan campuran. 

Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda dalam satu kenyataan berkata ini merupakan pendirian rasmi parti itu.

“Muda berpandangan bahawa permohonan pengampunan Najib harus ditolak oleh Lembaga Pengampunan,” katanya.

“Ini merupakan pendirian rasmi parti yang membantah sebarang gerakan untuk menyelamatkan mana-mana kleptokrat yang telah menyusahkan dan menggadai negara”.

Bekas ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata pada 28 April pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej negatif kepada rakyat, sistem keadilan negara dan seluruh dunia tentang sikap Malaysia terhadap rasuah serta salah guna kuasa.

“Apakah memberikan pengampunan kepada orang yang telah memalukan negara di serata dunia akan menunjukkan sikap tegas dan tiada kompromi kita terhadap rasuah? Sudah pasti tidak.

“Sebaliknya ianya akan memberikan isyarat salah bahawa perang rasuah hanya cogan kata kosong untuk kepentingan politik dan akhirnya semua akan kembali seperti biasa,” katanya.

Najib disabitkan bersalah pada 2020 atas tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International. 

Beliau mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada Ogos tahun lalu selepas gagal dalam rayuan terakhirnya. 

Pada bulan Mac, Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk semakan kehakiman terhadap sabitan dan hukumannya, sekali gus memusnahkan harapan terakhirnya untuk mendapatkan bantuan undang-undang dalam kes itu. 

Umno kemudiannya mula menerajui cubaan untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi bekas presiden mereka yang masih mempunyai pengaruh besar dalam parti. 

Kenyataan Khalid itu menimbulkan kemarahan Umno, dengan Ahli Majlis Tertinggi Puad Zarkashi melabelkan Amanah sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai dalam kerajaan sekarang.

Umno Kelantan yang akan bekerjasama dengan Amanah dalam usaha mereka menawan negeri yang dikuasai PAS itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, turut menuntut permohonan maaf daripada Khalid, yang kemudiannya berkata beliau sudah berbuat demikian. 

Beliau bagaimanapun menambah bahawa permohonan maafnya adalah “atas pendirian berbeza”.

“Lebih penting untuk ‘move on’ dan tumpu pada PRN yang menjelang,” katanya.

Permohonan maaf Khalid hadir susulan kenyataan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dan presidennya Mohamad Sabu yang menyifatkan kenyataan pengarah komunikasi parti itu sebagai pandangan peribadi.

Muda dalam kenyataan hari ini berkata sebarang pengampunan untuk Najib akan menghantar isyarat yang salah kepada rakyat Malaysia.

“Adakah rakyat biasa yang didapati bersalah atas jenayah yang sama akan diberi keistimewaan yang sama?” katanya, sambil menambah Najib disabitkan bukan satu tetapi tujuh pertuduhan.

“Pengampunan ke atas Najib tatkala dia baru sahaja menjalani hukuman akan membawa mesej bahawa mana-mana individu berpengaruh, mempunyai hubungan kuasa tidak perlu gusar dengan undang-undang.” 

Sambil menambah bahawa parti itu akan “terus memerangi mana-mana gerakan yang mahu menyelamatkan kleptokrat termasuk pihak yang cuba mencabar integriti badan kehakiman negara”.

“Dan kami tidak bercadang untuk memohon maaf atas pendirian ini.”