- Iklan -
Berita

Pemimpin Umno gelar Amanah ‘makan kawan’, kerajaan Anwar semakin retak

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi juga menggunakan singkatan yang menghina parti komponen PH itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dan Speaker DUN Johor Puad Zarkashi. Gambar: Bernama
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dan Speaker DUN Johor Puad Zarkashi. Gambar: Bernama

Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengecam kenyataan Amanah kerana mempersoalkan permohonan pengampunan diraja Najib Razak, dalam siri terbaru perang mulut antara parti pemerintah yang membentuk kerajaan campuran pimpinan Anwar Ibrahim.

Puad Zarkashi, yang juga speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, gesaan Amanah kepada Yang di-Pertuan Agong supaya tidak memberi pengampunan kepada bekas perdana menteri itu bukan sahaja menghina raja, malah menunjukkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu "susah” untuk dibuat kawan.

"Sebab itu memang susah bersahabat dengan PAN," kata Puad menggunakan singkatan yang tidak digemari penyokong parti serpihan PAS itu, yang lebih suka menggunakan akronim Amanah.

“(Kita) hanya boleh jadi kawan. Kawan yang tidak beri jaminan kerajaan perpaduan boleh kekal. Kawan makan kawan.”

Puad, yang turut menyelar veteran DAP, Lim Kit Siang kerana membantah tawaran pengampunan itu, berkata Amanah “hanya layak jadi kawan politik bukan sahabat perjuangan”.

“Parti yang dipimpin oleh Mohamad Sabu lebih wajar dipanggil sebagai parti PAN bukan parti Amanah,” tambahnya.

Kenyataannya itu menyemarakkan lagi ketegangan antara parti kerajaan membabitkan gabungan PH diketuai Anwar dan Barisan Nasional (BN) didominasi Umno yang memberi sokongan kepadanya untuk dilantik sebagai perdana menteri ke-10 susulan Parlimen tergantung selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada Jumaat, Amanah mengkritik usaha Umno membebaskan Najib, yang sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang berikutan sabitan dalam kes SRC International. 

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej negatif kepada rakyat, sistem keadilan negara dan seluruh dunia tentang sikap Malaysia terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

“Apakah memberikan pengampunan kepada orang yang telah memalukan negara di serata dunia akan menunjukkan sikap tegas dan tiada kompromi kita terhadap rasuah? Sudah pasti tidak,” kata Khalid.

Kenyataan itu mendapat respons negatif daripada Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang menggesa semua pihak berhenti memberi komen berhubung permohonan pengampunan diraja untuk Najib.