- Iklan -
Berita

Jemaah Menteri perlu bincang cadangan lanjut cuti sekolah susulan strok haba, kata TPM

Zahid berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara sudah bermesyuarat dan melaksanakan usaha penyelarasan dengan pelbagai kementerian serta jabatan yang berkaitan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang murid melihat ke belakang semasa perhimpunan di SK Taman Tasik di Ampang pada hari pertama pembukaan semula sekolah, 20 Mac.
Seorang murid melihat ke belakang semasa perhimpunan di SK Taman Tasik di Ampang pada hari pertama pembukaan semula sekolah, 20 Mac.

Jemaah Menteri harus berbincang sama ada cuti sekolah perlu dilanjutkan susulan fenomena haba panas yang melanda negara ketika ini sehingga menyebabkan dua kematian melibatkan kanak-kanak, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata urus setia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara sudah bermesyuarat dan melaksanakan usaha penyelarasan dengan pelbagai kementerian serta jabatan yang berkaitan.

“Saya fikir itu (pelanjutan cuti sekolah) harus dibincangkan di mesyuarat Jemaah Menteri... Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, kita telah mengkoordinasikan kerjasama dengan pihak kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan bukan sahaja untuk memantau tetapi juga membantu mereka yang terkena strok haba disebabkan perubahan cuaca ini,” katanya.

Zahid berkata demikian kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Umno Bahagian Pontian di Benut hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengingatkan rakyat agar mengambil langkah berjaga-jaga susulan fenomena haba panas itu. 

Beliau berkata KKM juga telah mengambil beberapa langkah bagi mengatasi masalah yang timbul susulan fenomena itu.

“Kita menasihati rakyat di kawasan yang dilanda haba panas agar minum air lebih banyak... tetapi saya dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi bahawa haba panas ini akan berakhir pada pertengahan Mei.

“Jadi saya berharap walaupun ini satu fenomena baharu tetapi kita perlu berjaga-jaga dan mengambil beberapa langkah kesihatan,” katanya.

Zahid ditanya sama ada wujud keperluan untuk melanjutkan cuti sekolah susulan kejadian strok haba dan langkah kerajaan dalam mengatasi fenomena haba panas ketika ini.

Sejak Rabu, terdapat dua kematian di Kelantan dipercayai akibat strok haba melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tujuh bulan.