- Iklan -
Berita

Wang diberi Jho Low untuk gambar dengan Obama, bukan sumbangan politik, kata Pras Michel

Pras Michel berkata beliau menggunakan sebahagian daripada wang itu untuk membiayai tiga rakan yang menghadiri majlis kutipan derma politik untuk bekas presiden AS itu.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pemenang anugerah Grammy Prakazrel Pras Michel, yang berdepan tuduhan jenayah kerana didakwa melobi secara haram tiba di Mahkamah Washington bagi menghadiri perbicaraannya, 30 Mac. Gambar: Reuters
Pemenang anugerah Grammy Prakazrel Pras Michel, yang berdepan tuduhan jenayah kerana didakwa melobi secara haram tiba di Mahkamah Washington bagi menghadiri perbicaraannya, 30 Mac. Gambar: Reuters

Penyanyi hip-hop Pras Michel ketika memberi keterangan pembelaannya pada Selasa berkata beliau menerima sejumlah AS$20 juta (kira-kira RM88.6 juta) daripada ahli perniagaan Low Taek Jho untuk membantunya bergambar bersama bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama. 

Michel berdepan tuduhan konspirasi jenayah, lobi asing dan kempen kewangan kerana didakwa berkomplot dengan Low untuk cuba mempengaruhi pentadbiran Obama dan bekas presiden Donald Trump. 

Pemenang anugerah Grammy itu memberitahu juri di Mahkamah Washington bahawa Low yang kini menjadi buruan pihak berkuasa kerana dituduh menggelapkan sejumlah AS$4.5 bilion daripada dana kekayaan negara 1MDB, tidak mengarahkannya untuk membuat sumbangan politk menggunakan wang berkenaan sebaliknya hanya untuk gambar tersebut. 

Michel berkata beliau menggunakan sebahagian daripada dana berkenaan bagi membiayai tiga rakannya sebanyak AS$40,000 yang menghadiri majlis kutipan derma untuk Obama.

Katanya, beliau tidak mengetahui bahawa tindakannya itu menyalahi undang-undang.

"Apabila anda menerima wang daripada Jho Low, anda menggunakannya untuk membuat sumbangan politik," tanya Pendakwa Raya persekutuan John Keller di Mahkamah Washington. 

"Tidak," jawab Michel, ketika memberi keterangan pada perbicaraan tersebut. 

"Sebaik sahaja dia memberi saya wang itu, itu adalah hak saya bagaimana untuk saya membelanjakan wang itu kerana ia adalah kepunyaan saya."

Beliau menyifatkan dana daripada Low sebagai "hadiah." 

Mengikut perundangan AS, adalah haram bagi mana-mana warga asing melakukan derma dalam kempen pilihan raya negara itu, malah membayar orang lain bagi membuat sumbangan politk turut dikasifikasikan sebagai melanggar undang-undang. 

Michel dituduh bersubahat dengan Low dalam tiga skim, yang mana pendakwa raya mengatakan beliau dibayar berjuta-juta dolar. 

Tuduhan pertama, pendakwa mendakwa bahawa Michel melanggar undang-undang pilihan raya persekutuan dengan menyalurkan kira-kira AS$2 juta daripada Low ke dalam tabung kempen Obama pada 2012 dan menutup sumber dana dengan menggunakan penderma lain. 

Michel juga dituduh berusaha untuk meyakinkan Jabatan Kehakiman era Trump untuk menggugurkan siasatan sivil dan jenayahnya terhadap Low berhubung skandal 1MDB, dan cuba melobi pentadbiran AS bagi pihak kerajaan China untuk membawa pulang seorang ahli politik pembangkang Guo Wengui.