- Iklan -
Berita

Pelobi akui gagal atur sesi golf antara Trump, Najib

Elliott Broidy berkata beliau diupah untuk meyakinkan pegawai tertinggi AS bahawa tindakan DoJ memburu mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB akan memudaratkan hubungan dua hala.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas presiden AS Donald Trump menyambut bekas perdana menteri Najib Razak di luar West Wing Rumah Putih pada 12 September 2017, di Washington. Gambar: AFP
Bekas presiden AS Donald Trump menyambut bekas perdana menteri Najib Razak di luar West Wing Rumah Putih pada 12 September 2017, di Washington. Gambar: AFP

Seorang pelobi politik Amerika Syarikat (AS) memperincikan usahanya pada 2017 untuk memohon pentadbiran Donald Trump menghentikan siasatan persekutuan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini termasuk usahanya mengatur pertemuan antara presiden AS ketika itu dengan bekas perdana menteri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara. 

Namun usaha itu gagal.

Elliott Broidy merupakan saksi pendakwaan dalam perbicaraan pengubahan wang haram terhadap penyanyi hip hop Prakazrel “Pras” Michél yang juga sekutu kepada ahli perniagaan Malaysia yang sedang dalam buruan, Low Taek Jho.

Broidy berkata beliau diupah untuk meyakinkan pegawai atasan AS bahawa tindakan Jabatan Kehakiman (DoJ) memburu mereka yang terlibat dalam skandal itu akan memudaratkan hubungan dua hala. 

Broidy memberitahu mahkamah awal bulan ini bahawa beliau juga bertemu Low di Thailand pada 2017, setahun selepas DoJ memfailkan saman untuk merampas hartanah yang berkait dengan 1MDB selepas pasukan penyiasat mendapati kira-kira AS$4.5 bilion telah diselewengkan daripada syarikat Malaysia itu.

The Washington Post memetiknya sebagai berkata kepada mahkamah bahawa beliau diupah sebanyak AS$8 juta untuk melakukan tugas itu dan AS$1 juta sebagai "yuran penampilan" kerana melakukan perjalanan ke Thailand untuk bertemu Low secara rahsia, sambil menambah bahawa beliau boleh memperoleh AS$75 juta jika usahanya berjaya.

Pada 2017, Broidy yang juga bekas pengumpul dana terbesar Republikan dilantik sebagai timbalan pengerusi kewangan Jawatankuasa Kebangsaan Republikan berikutan kemenangan Trump dalam pilihan raya.

Broidy bagaimanapun meletakkan jawatan pada tahun berikutnya susulan pendedahan mengenai pembayaran upah kepada seorang bekas model Playboy sebanyak AS$1.6 juta sebagai balasan untuk model tersebut menutup mulut mengenai hubungan seksualnya.

Pada 2020, Broidy mengaku bersalah kerana melobi secara haram, tetapi kemudiannya mendapat pengampunan daripada Presiden Trump. 

Beliau kemudian membuat perjanjian dengan FBI untuk bekerjasama dengan DoJ dalam kes yang melibatkan Low dan rakan-rakannya. 

Najib, yang akhirnya bertemu dengan Trump pada September 2017 pada kemuncak skandal 1MDB, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung kes SRC International melibatkan penyelewengan dana berjumlah RM42 juta.