- Iklan -
Berita

Fahmi digesa beri penjelasan selepas RTM singkir Dayangku Intan daripada rancangan Aidilfitri

Dayangku Intan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai punca beliau disingkirkan daripada program itu, namun dipercayai ada kaitan dengan keputusannya menyertai PAS tahun lepas.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Penyanyi Dayangku Intan. Gambar: Facebook
Penyanyi Dayangku Intan. Gambar: Facebook

Penyanyi popular era 1980-an, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Dayangku Intan berkata bahawa persembahannya dalam Konsert Glam Raya yang bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena sambutan Aidilfitri ini, dikeluarkan.

Bercakap dengan MalaysiaNow, beliau bagaimanapun tidak pasti mengapa keputusan itu dibuat dan hanya dimaklumkan bahawa setiap individu yang akan menyertai program RTM akan diperiksa latar belakang.

Katanya, perkara itu hanya dapat disahkan selepas mendapati poster terbaru program yang akan disiarkan pada 22 April depan itu tidak disertakan gambarnya.

"Saya dah diberitahu sebelum itu, tetapi untuk dapatkan kepastian, apabila poster itu dikeluarkan, gambar saya tiada, bermakna sudah sah saya dikeluarkan daripada program tersebut," katanya.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil tidak menjawab pertanyaan daripada MalaysiaNow, namun hanya menulis Twitter bahawa tiada arahan dibuat terhadap penyingkiran Dayangku.

Dayangku yang terkenal dengan lagu "Senandung Hari Raya Untukmu", berkata segala-galanya telah selesai daripada rakaman sehinggalah raptai.

DayangkuIntan

"Kita dah siap rakam, sudah buat raptai, kita dah buat semuanya untuk persembahan, ramai peminat saya dari Perak, Kuala Lumpur, Selangor turut hadir tapi dikeluarkan rakaman itu, maknanya ia disunting keluar kemudian."

Ditanya sama ada keputusan mengeluarkan persembahannya daripada program itu mempunyai kaitan dengan tindakannya menyertai PAS yang merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN) Disember lalu, beliau bagaimanapun enggan membuat spekulasi.

Bagaimanapun, Dayangku berharap Fahmi dapat memberi penjelasan mengenai perkara ini memandangkan penyanyi itu mendakwa masih belum menerima alasan yang kukuh berhubung keputusan tersebut. 

"Saya pun ingin tahu kenapa saya dikeluarkan daripada rancangan ini, kenapa saya diblok di RTM.

"Perkara ini tiada hitam putih, cuma diberitahu saya dikeluarkan dan penjelasan yang saya dapat ialah perlu periksa latar belakang," katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut dimaklumkan bahawa kemungkinan nyanyiannya tidak akan disiarkan di radio memandangkan penampilannya di TV dihalang.

"Tetapi maklum balas yang saya terima, ada yang memberitahu lagu-lagu saya masih disiarkan di radio, mungkin hanya radio swasta.

"Saya hanya dimaklumkan sesiapa yang masuk program TV RTM, mereka akan disiasat latar belakang, tetapi maksud sebenarnya saya pun tidak tahu," tambahnya.