- Iklan -
Berita

Jerebu makin serius, Seberang Jaya catat IPU tidak sihat

Tiga kawasan lain di Pulau Pinang turut mencatatkan bacaan IPU menghampiri tahap tidak sihat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Jarak penglihatan di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah semakin berkurang berikutan keadaan jerebu yang melanda Pulau Pinang, 17 April. Gambar: Bernama
Jarak penglihatan di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah semakin berkurang berikutan keadaan jerebu yang melanda Pulau Pinang, 17 April. Gambar: Bernama

Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Seberang Jaya, di Bukit Mertajam merekodkan bacaan tidak sihat manakala tiga lagi lokasi mencatatkan IPU sederhana.

Laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan IPU 151 di Seberang Jaya sehingga pukul 10 pagi ini dan ia juga menunjukkan kualiti udara di kawasan itu kekal merekodkan tidak sihat sejak pukul 9 malam semalam.

Menurut JAS, IPU di Seberang Jaya juga menunjukkan trend menaik sejak pagi ini iaitu 132 pada 7 pagi meningkat kepada 135 dan seterusnya 141 pada 9 pagi hari ini.

Kawasan lain yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana namun menghampiri tahap tidak sihat ialah Minden (95), Seberang Perai (91) dan Balik Pulau (82).

IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara yang baik, 51 ke 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 ke 300 (sangat tidak sihat) serta 300 dan ke atas (berbahaya).

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata fenomena jerebu dijangka lebih serius pada tahun ini berbanding tiga tahun lalu apabila aktiviti perladangan dan industri kembali beroperasi seperti sedia kala.