- Iklan -
Berita

Hanya keajaiban boleh pulihkan Umno, kata penganalisis

Meskipun bekas perdana menteri Najib Razak diampunkan, ia mungkin tidak mencukupi untuk meraih kembali sokongan masyarakat, kata Ahmad Atory Hussain.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Perwakilan menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur, 11 Januari.
Perwakilan menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur, 11 Januari.

Umno memerlukan keajaiban untuk pulih dan menarik semula sokongan melayu ke parti itu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada tahun ini, kata penganalisis politik Melayu dari Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain.

Pemerhati politik veteran itu berkata, "pertolongan" yang bakal diterima daripada parti kerajaan lain terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) kemungkinan besar hanya akan mendorong pengundi Melayu terutamanya di kawasan luar bandar akan beralih ke Perikatan Nasional (PN).

Katanya, keputusan untuk Umno bekerjasama dengan "musuh lama" yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim dilihat menimbulkan kemarahan ramai termasuk penyokong dan ahli parti itu apabila mereka rasa ditipu selepas Presiden Ahmad Zahid Hamidi sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengumumkan secara terbuka slogan "No Anwar, No DAP".

"Keadaan juga bertambah buruk apabila kepimpinan parti memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpin veteran dan individu berpengaruh," katanya kepada MalaysiaNow.

"Sudah tentu keputusan ini akan menghantui Umno pada PRN nanti sebab individu yang dibuat itu juga mempunyai bilangan penyokong yang kuat dalam parti."

Pada PRU15 yang diadakan pada November tahun lepas, Umno hanya berjaya meraih 26 kerusi Parlimen, prestasi yang paling teruk direkodkan parti itu sejak ditubuhkan.

Bagaimanapun, Zahid enggan meletakkan jawatan meskipun didesak berbuat demikian sebelum mengemudikan parti itu bekerjasama dengan PH untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang mana beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Nur Jazlan Mohamed baru-baru turut menyifatkan DAP sebagai liabiliti kerana menjangkakan kerjasama antara kedua-dua parti itu akan menyukarkan Umno menarik semula sokongan Melayu. 

Mengulas mengenai perkara sama, Atory menambah bahawa kehadiran PKR dan Amanah untuk membantu Umno kembali menawan kerusi kawasan luar bandar juga mungkin sukar memandangkan perhatian kelompok pengundi ini lebih ke arah PN.

"Apa yang mereka tak nampak ialah rakyat di luar sana ada pilihan lain. Orang ramai boleh undi selain BN dan PH," katanya.

Pada masa sama, Atory menjangkakan isu pengampunan bekas perdana menteri, Najib Razak yang kini sedang menjadi perbualan hangat juga tidak akan mendatangkan manfaat kepada Umno.

Katanya, sekiranya bekas ahl Parlimen Pekan itu berjaya dibebaskan, beliau juga mungkin tidak dapat pulihkan Umno melihat kepada prestasi semasa parti itu.

"Yang pro-Najib semua nak beliau keluar dan mereka jangka Najib mampu pulihkan Umno.

"Saya rasa tidak. Najib keluar atau tidak, susah nak pulihkan Umno sekarang ini. 

"Hanya keajaiban saja yang boleh pulihkan Umno sekarang ini," tambah beliau.