- Iklan -
Berita

Biarkan kuasa pasaran tentukan tambang e-hailing, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata kementeriannya seboleh-bolehnya tidak mahu campur tangan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pelanggan menunggu perkhidmatan e-hailing Grab di Jalan Brickfields, Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Pelanggan menunggu perkhidmatan e-hailing Grab di Jalan Brickfields, Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Kementerian Pengangkutan (MoT) seboleh-bolehnya tidak mahu campur tangan berhubung harga lantai tambang e-hailing, sebaliknya mahu ia ditentukan oleh kuasa pasaran, kata Menterinya Anthony Loke.

Loke berkata pihaknya maklum mengenai gesaan persatuan pemandu e-hailing (EHO) yang mahu kerajaan campur tangan berhubung isu tambang itu termasuk penyeragaman kadar tambang antara bandar.

“Kita faham permintaan mereka supaya kerajaan menetapkan harga lantai untuk e-hailing. Setakat ini, cadangan itu masih dalam peringkat perbincangan dan belum ada apa-apa keputusan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) Bil 1/2023, di Putrajaya hari ini.

Loke berkata MOT juga memahami harapan pemandu mengenai perkara berkenaan memandangkan pemandu tidak boleh memandu dengan kerugian selain terdapat kos operasi yang perlu ditanggung.

“Tetapi kita perlu faham bahawa kalau ada harga lantai ditetapkan, harga tambang kepada pengguna mungkin akan lebih meningkat jadi ia merupakan pertimbangan yang perlu diambil kira. Jadi kita biarkan pasaran untuk tentukan harga dan ada harga dinamik antara EHO, pemandu dan penumpang," katanya.

Media sebelum ini melaporkan EHO menggesa kerajaan melaksanakan kadar tambang lantai terhadap perkhidmatan pengangkutan itu bagi melindungi kebajikan pemandu.

Dilaporkan pemandu e-hailing kian terdesak kerana kadar tambang semakin tidak menentu ekoran persaingan dari beberapa pengusaha perkhidmatan itu dan biarpun persaingan harga menguntungkan pengguna, ia sebaliknya membebankan pemandu e-hailing yang perlu menanggung kos minyak, tol, penyelenggaraan dan sebagainya.