- Iklan -
Berita

Agong bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan dianggotai PM, kata peguam menjelang rayuan terbaru Najib

Zainur Zakaria berkata perdana menteri dan ahli Lembaga Pengampunan yang lain akan memutuskan apa yang perlu untuk menasihati Agong.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Usaha baharu sedang digerakkan untuk mendapat Kan pengampunan diraja bagi bekas perdana menteri Najib Razak, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun. Gambar: Bernama
Usaha baharu sedang digerakkan untuk mendapat Kan pengampunan diraja bagi bekas perdana menteri Najib Razak, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun. Gambar: Bernama

Seorang peguam kanan tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa kuasa pengampunan diraja terletak kepada budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong, berikutan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno semalam yang akan mengadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi merayu pembebasan Najib Razak.

Zainur Zakaria, yang pernah menjadi sebahagian daripada pasukan pembelaan Anwar Ibrahim, berkata Agong dijangka bertindak berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan yang juga dianggotai perdana menteri.

"YDPA (Agong) tidak bertindak sebagai mahkamah mengkaji semula keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah.

"YDPA tidak mempunyai kuasa dan juga bukan peranan mereka untuk kaji dan semak semula segala keputusan penghakiman, untuk menentukan sama ada keputusan-keputusan tersebut betul atau tidak di sisi undang-undang dan fakta," kata Zainur, dipercayai menjawab dakwaan Ahli Parlimen PKR Hassan Karim bahawa Agong tidak perlu mendengar nasihat perdana menteri atau Kabinet dalam memberikan pengampunan diraja kepada Najib.

Hassan berkata selagi Anwar tidak campur tangan dalam proses pengampunan, tidak timbul soal ancaman terhadap survival pentadbirannya sekiranya Najib bebas dari penjara.

Namun, Zainur berkata sebagai ahli Lembaga Pengampunan, Anwar akan menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan bagi menasihati Agong sama ada Najib perlu diberi pengampunan ataupun tidak.

Awal hari ini, Anwar mendakwa tiada konflik kepentingan walaupun beliau menjadi sebahagian daripada proses mempertimbangkan pengampunan diraja untuk Najib. 

Beberapa penganalisis memberi amaran bahawa rayuan terbaru untuk mendapatkan pengampunan diraja Najib boleh menimbulkan masalah kepada kerajaan campuran Anwar, yang dibentuk tahun lepas selepas presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengetuai 26 ahli Parlimen dari parti itu untuk menyokong pemimpin PKR tersebut bagi jawatan tertinggi itu.

Mereka juga menegaskan pengaruh Najib dalam Umno lebih kuat berbanding Zahid, dan apa jua keputusan proses pengampunan itu akhirnya akan menjejaskan presiden Umno sekarang.

Majlis Kerja Tertinggi Umno semalam mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib untuk mengenepikan sabitannya dalam kes SRC International, yang kini sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang.

Dalam keputusan majoriti 4-1, panel lima hakim yang diketuai hakim Abdul Rahman Sebli menolak permohonan semakan kehakiman itu.

Abdul Rahman, adalah satu-satunya hakim yang menentang penghakiman tersebut, bagaimanapun berpendapat adalah salah bagi Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada Ogos tahun lalu, tidak membenarkan penangguhan bagi membolehkan peguam baru bekas perdana menteri itu untuk membuat persediaan dalam rayuan terakhirnya.

Zainur dalam pada itu berkata adalah tidak masuk akal untuk peguam Najib menggunakan pandangan Abdul Rahman dalam rayuan akan datang.

"Takkan Lembaga Pengampunan dan YDPA akan ambil kira satu-satunya penghakiman bertentangan ini dan menolak empat penghakiman majoriti dalam mempertimbangkan petisyen Najib," kata Zainur, bekas naib presiden PKR yang sebelum ini dikenali Parti Keadilan Nasional.