- Iklan -
Berita

Bekas pembantu tarik balik rayuan hapus tuntutan balas Anwar dalam saman serangan seksual

Muhammed Yusoff Rawther diarah membayar RM5,000 kepada perdana menteri.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas pembantu penyelidiknya Muhammed Yusoff Rawther.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas pembantu penyelidiknya Muhammed Yusoff Rawther.

Muhammed Yusoff Rawther menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung tuntutan samannya.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Lee Swee Seng, Datuk Hashim Hamzah dan Lim Chong Fong membatalkan rayuan itu dan memerintahkan perayu (Muhammed Yusoff) untuk membayar kos RM5,000 kepada responden (Anwar).

Terdahulu, Muhammed Yusoff yang diwakili peguam Reenajit Kaur Golen memberitahu panel hakim bahawa mereka telah menulis kepada mahkamah pada 6 Mac untuk memaklumkan tentang penarikan balik rayuan itu.

Peguam Navpreet Singh yang mewakili Anwar berkata keputusan perayu untuk menarik balik rayuan menunjukkan beliau bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa beliau gagal untuk memenuhi keperluan bagi permohonan tersebut. 

“Perayu memfailkan notis rayuan dan meneruskan sesi pengurusan kes bagi mendapatkan arahan untuk memfailkan penghujahan. Bagaimanapun, beliau membuat pusingan U untuk menarik balik rayuan itu, sebulan sebelum tarikh pendengaran rayuan hari ini,” katanya. 

Peguam itu kemudian memohon kos RM5,000 kerana perayu menarik balik rayuan pada saat akhir.

Pada 14 Julai 2021, Muhammed Yusoff, yang merupakan bekas pembantu penyelidik Anwar memfailkan saman terhadap Anwar mendakwa bahawa beliau telah diserang secara seksual.

Beliau antara lain menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 9 September 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Muhammed Yusoff untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas Anwar.

Anwar, menerusi pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 28 Sept 2021, mendakwa Muhammed Yusoff telah berbohong di bawah sumpah dan pihak berkuasa berhubung serangan seksual yang berlaku kepadanya.

Menurut Presiden PKR itu yang memfailkan tuntutan balas pada tarikh sama (28 September), Muhammed Yusoff telah mereka-reka cerita berhubung serangan seksual untuk mencemarkan kerjaya politiknya bagi memastikan beliau tidak menjadi perdana menteri.