- Iklan -
Berita

Tiada perarakan 'doktor mogok' di Johor

Perkhidmatan penjagaan pesakit di klinik kesihatan dan hospital, dan semua prosedur elektif yang dijadualkan, berjalan seperti biasa.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail petugas kesihatan berbual di hadapan mural di sebuah hospital di Johor Bahru. Gambar: Bernama
Gambar fail petugas kesihatan berbual di hadapan mural di sebuah hospital di Johor Bahru. Gambar: Bernama

Tiada perarakan kecil atau demonstrasi awam dikesan berlaku di fasiliti kesihatan awam di negeri ini susulan mogok yang dilancarkan doktor kontrak mulai hari ini hingga Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon berkata pemantauan di fasiliti kerajaan sejak pagi tadi mendapati perkhidmatan perawatan pesakit di klinik kesihatan dan hospital serta semua prosedur elektif yang dijadualkan, berjalan lancar seperti biasa.

Katanya tiada kesesakan luar biasa di fasiliti kesihatan awam negeri ini dan bilangan pegawai perubatan yang tidak hadir bertugas atau bercuti juga terkawal.

"Pemantauan berterusan dilakukan oleh semua Ketua Pusat Tanggungjawab bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada pesakit sama ada di klinik atau hospital negeri ini berjalan lancar.

"Segala permasalahan pasti ada penyelesaian, namun mengadakan mogok bukanlah solusi terbaik.  

"Saya berterima kasih kepada doktor-doktor kontrak di Johor kerana tidak membabitkan diri dalam rancangan untuk mogok selama tiga hari dan terus menawarkan khidmat yang terbaik untuk semua pesakit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya sebagai wakil kepada kerajaan negeri, beliau terbuka untuk mendengar rintihan doktor kontrak supaya dapat menyampaikan hasrat mereka kepada kementerian meskipun perkara itu bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Tian Soon mencadangkan Kabinet menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi menggabungkan beberapa kementerian dan agensi termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi menangani isu doktor kontrak ini.

Terdahulu tular di laman sosial mengenai doktor kontrak merancang melakukan mogok selama tiga hari di seluruh negara bermula hari ini kerana dikatakan kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatan negara.

Kumpulan doktor kontrak itu juga dilaporkan tidak berganjak daripada keputusan mereka untuk meneruskan tindakan tersebut, meskipun telah dinasihatkan KKM untuk tidak berbuat demikian.