- Iklan -
Berita

Tidak adil hukum Najib atas kesilapan peguam, kata hakim yang menentang

Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli berkata Najib Razak berada dalam ‘ketidakadilan'.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Kenderaan penjara yang membawa bekas perdana menteri Najib Razak meninggalkan Istana Kehakiman di Putrajaya, 31 Mac. Gambar: Bernama
Kenderaan penjara yang membawa bekas perdana menteri Najib Razak meninggalkan Istana Kehakiman di Putrajaya, 31 Mac. Gambar: Bernama

Hakim tunggal yang bersetuju supaya permohonan semakan Najib Razak dibenarkan berpendapat adalah tidak adil bagi bekas perdana menteri itu terpaksa menanggung akibat daripada kesilapan dilakukan peguamnya dalam prosiding rayuan kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, yang mempengerusikan panel lima hakim, berkata peguam Najib (Hisyam Teh Poh Teik) dinafikan peluang untuk berhujah sebagaimana yang dinyatakan oleh beliau bahawa beliau tidak bersedia untuk berbuat demikian selepas mengambil kes itu pada saat-saat akhir.

“Peguam tidak berhujah selepas memaklumkan panel hakim bahawa beliau tidak bersedia untuk berbuat demikian. Ini menyebabkan hanya satu pihak yang berhujah di hadapan panel terdahulu, iaitu Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram.

“Pemohon (Najib) langsung tidak didengari. Pemohon berada dalam situasi yang sangat tidak adil. Beliau dalam keadaan kekurangan kerana tidak diwakili semasa rayuan. Adalah tidak adil bagi pemohon menanggung akibat atas kesilapan yang dilakukan oleh peguamnya.

“Apa yang pemohon mahu ialah melihat peguamnya bertindak untuknya demi kepentingannya, tidak lebih dan tidak kurang,” kata hakim itu ketika membenarkan permohonan Najib untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan 12 tahun penjara dan denda kerana menyelewengkan RM42 juta dana SRC International.

Dalam penghakiman bertentangan itu, Rahman berkata panel hakim sebelum ini sepatutnya membenarkan pemohon (Najib) berhujah kepada mereka terlebih dahulu sebelum pihak pendakwaan membuat penghujahan.

"Ini tidak berlaku, pihak pendakwaan dibenarkan berhujah selama dua hari,” kata hakim itu dan menambah bahawa sabitan terhadap tertuduh harus dibatalkan kerana tiada representasi undang-undang.

Rahman berpendapat penangguhan sepatutnya diberikan, bukan untuk menyekat kes, tetapi untuk membolehkan bekas perdana menteri mencari peguam baharu.

“Pemohon (Najib) mempunyai hak untuk mendapatkan peguam. Dalam kes ini, panel terdahulu menafikan hak pemohon untuk mendapatkan peguam.

“Panel sebelum ini berkata ia telah memberi masa empat bulan kepada peguam Najib untuk membuat persediaan. Ini tidak benar. Empat bulan itu adalah untuk Tetuan Shafee dan Co (peguam Najib sebelum ini). Bukan untuk peguam baharunya, Hisyam. Oleh itu, permohonan semakan untuk penangguhan itu mesti diberikan," kata hakim itu.

Najib, 69, yang berada di tempat pesalah, kelihatan menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan hakim.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Nazlan, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram, serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, jika gagal penjara lima tahun, dalam kes penyalahgunaan jawatannya. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda itu.

Pada 23 Ogos 2022, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk membatalkan sabitan dan hukuman. Najib memulakan hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang pada hari yang sama. 

Najib kemudian memfailkan permohonan semakan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini. Selain itu, beliau juga memfailkan permohonan pengampunan diraja pada September tahun lepas.

Pada 5 Januari lepas, beliau juga memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penahanan Arbitrari (UNWGAD) untuk meminta pembebasan daripada penjara atau perbicaraan semula kes SRC International yang dihadapinya berikutan pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan yang beliau dakwa mempunyai kecacatan serius dan bertentangan dengan peraturan keadilan antarabangsa.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.