- Iklan -
Berita

Shahidan gesa kerajaan jawab isu sekat MB Kedah hadir Lima Langkawi

Menurut Shahidan, perkara itu perlu diberikan penjelasan segera kerana melibatkan kepentingan orang ramai terutama sekali urusan harian pemimpin negeri itu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim.
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim.

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim dari Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan memberikan penjelasan susulan dakwaan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Mohd Nor bahawa beliau disekat daripada menghadiri mana-mana program kerajaan termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (Lima’23) pada 23 hingga 27 Mei depan.

Shahidan membangkitkan peraturan mesyuarat 18(1) dan merujuk Perlembagaan Persekutuan Perkara 10 kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Menurut Shahidan, perkara itu perlu diberikan penjelasan segera kerana melibatkan kepentingan orang ramai terutama sekali urusan harian pemimpin negeri itu.

Menurutnya, Sanusi sukar untuk membuat majlis di luar negeri Kedah termasuk membuat tempahan dewan di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Mawip) tapi dibatalkan. 

"(Perkara ini) perlu disegerakan kerana melibatkan seorang yang dilantik oleh raja negeri Kedah untuk jadi menteri besar. 

"Tapi tak dibenarkan untuk hadir majlis kerajaan Persekutuan di negerinya sendiri," katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Semalam, pegawai di pejabat menteri besar Kedah mengesahkan kepada MalaysiaNow berhubung sekatan itu.

Sebelum ini, Sanusi menarik perhatian ramai pihak apabila memuat naik tulisan di Facebook berhubung keputusan terbaru Kabinet yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim. 

"Keputusan terbaru PMX melarang MB Kedah di mana-mana majlis kerajaan persekutuan termasuk Lima di Langkawi. 

"Apa boleh buat, jika anda panas tolong jangan koyak."

Dalam pada itu, Johari meminta supaya Shahidan mengemukakan usul kepada pejabatnya berkenaan isu tersebut selain membangkitkannya dalam persidangan Dewan Rakyat.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Shahidan mempunyai bukti seperti dokumen hitam putih yang membenarkan dakwaan tersebut. 

"Itu hanya laporan pemberita dan akhbar," katanya. 

Bagaimanapun Shahidan pula menegaskan beliau pernah menghantar kira-kira sebanyak 14 usul kepada pejabat Johari dan tiada satu usul pun yang diterima. 

"Saya ahli Parlimen yang lama cukup sedih apa yang berlaku," katanya.