- Iklan -
Berita

PH, BN setuju beberapa ‘parameter’ pandu proses agihan kerusi PRN

Pakatan Harapan juga telah dimaklumkan berhubung keputusan Barisan Nasional mengenai penggunaan logo dacing untuk calon daripada gabungan itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dipasang di tepi lebuh raya MRR2 di Sungai Buloh sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15.
Bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dipasang di tepi lebuh raya MRR2 di Sungai Buloh sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15.

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersetuju dengan beberapa parameter untuk memandu proses agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, kata Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail.

"Formula rundingan agihan kerusi antara PH dan BN telah dimulakan," katanya pada majlis dialog bersama media di Putrajaya hari ini, serta menambah rundingan pengagihan kerusi dibuat namun tidak selesai kerana perlu diadakan beberapa siri rundingan.

Dilaporkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu mencapai persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tempoh dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN masing-masing.

Mengenai keputusan BN bahawa semua calon mewakili parti itu akan menggunakan logo dacing pada PRN, Saifuddin berkata keputusan itu telah dimaklumkan kepada PH.

Beliau berkata keputusan itu dibuat Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi kerana kerajaan yang terdiri daripada gabungan parti-parti politik tidak mempunyai logo rasmi setakat ini.

"PH dan BN ada logonya jadi dalam konteks itu pengerusi BN yang juga presiden Umno (Zahid) membuat keputusan sebab itu dalam domain BN," katanya.