- Iklan -
Berita

MB Kedah dilarang hadir ke Lima Langkawi?

Perkara itu disahkan oleh seorang pegawai di Pejabat Menteri Besar Kedah kepada MalaysiaNow.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Mohd Nor. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Mohd Nor. Gambar: Bernama

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Mohd Nor dilarang menghadiri sebarang majlis anjuran kerajaan Persekutuan termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (Lima’23) pada 23 hingga 27 Mei depan. 

Perkara itu disahkan oleh seorang pegawai di Pejabat Menteri Besar Kedah kepada MalaysiaNow.

"(Sahih) apa yang MB kongsikan di Facebook beliau itu sahaja setakat ni."

Bagaimanapun, beliau memberitahu pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat lanjut mengenai perintah dan larangan itu dikenakan terhadap menteri besar tersebut.

Sebelum ini, Sanusi menarik perhatian ramai pihak apabila memuat naik tulisan di Facebook berhubung keputusan terbaru Kabinet yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim. 

"Keputusan terbaru PMX melarang MB Kedah di mana-mana majlis kerajaan persekutuan termasuk Lima di Langkawi. 

"Apa boleh buat, jika anda panas tolong jangan koyak," tulis Sanusi di Facebook awal pagi ini. 

MalaysiaNow sudah menghubungi penganjur Lima’23 yang bakal dianjurkan di Langkawi, Kedah untuk pengesahan dan maklumat lanjut berhubung sekatan terhadap Sanusi.

Lima’23 merupakan pameran ketenteraan anjuran Kementerian Pertahanan yang dimulakan sejak era pentadbiran kali pertama Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Dalam pada itu, media sosial Sanusi dibanjiri komen-komen yang menyifatkan perkembangan itu sebagai tidak profesional dilakukan oleh kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

"Sangat tidak profesional. Memalukan. Siapa sangka Anwar Ibrahim yang sekian lama dijulang sebagai reformis akan jadi seteruk ini bila dapat kuasa," tulis Mardhiyyah Johari.

Malah, ada juga yang tidak mempercayai dengan tindakan dan keputusan tersebut.

"Betulkah? Kalau betul, ia keputusan paling pelik dalam sejarah pentadbiran negara," tulis Zainab Saad. 

Selain itu, terdapat juga mereka yang berpandangan sekiranya pemimpin negeri Kedah sendiri dilarang untung menghadiri majlis tersebut, lebih baik penganjuran Lima’23 dipindahkan ke negeri lain. 

"Minta MB Kedah pula sekat mereka masuk Kedah," tulis Aliyaa Syazwani. 

"Mai (datang) buat program kat tempat orang. Tapi tak bagi orang tu terlibat," kata Ku Abd Muhyi pula. 

Terdahulu, Anwar memfailkan saman terhadap Sanusi kerana membangkitkan berhubung kes liwat pemimpin PKR itu.

Bagaimanapun, Sanusi mempertahankan ucapannya mengatakan beliau hanya memberitahu fakta sebenar berdasarkan dokumen penghakiman yang boleh didapati secara umum.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.