- Iklan -
Berita

Kerajaan luluskan 995,396 kuota pekerja asing sehingga 14 Mac

Sektor perkilangan merekodkan jumlah kuota tertinggi dengan 387,122 diikuti sektor pembinaan seramai 342,106.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Gelagat pekerja asing ketika pulang ke asrama dari tempat kerja di Petaling Street di Kuala Lumpur. Kementerian Sumber Manusia meluluskan sebanyak 995,396 kuota pekerja asing sehingga 14 Mac lalu.
Gelagat pekerja asing ketika pulang ke asrama dari tempat kerja di Petaling Street di Kuala Lumpur. Kementerian Sumber Manusia meluluskan sebanyak 995,396 kuota pekerja asing sehingga 14 Mac lalu.

Sebanyak 995,396 kuota pekerja asing diluluskan Kementerian Sumber Manusia sehingga 14 Mac lalu, kata timbalan menterinya, Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, daripada jumlah kuota yang diluluskan, sektor yang tertinggi adalah sektor perkilangan melibatkan 387,122, diikuti dengan sektor pembinaan seramai 342,106.

Katanya, sektor perkhidmatan pula merangkumi 143,568 kuota, perladangan (76,325), pertanian (45,899), manakala sektor perlombongan dan kuari sebanyak 476.

Mustapha berkata, 84.7% kuota pekerja asing sudah dibayar levi oleh pihak majikan.

“Malaysia menjalinkan kerjasama perburuhan bagi pengambilan dan penggajian pekerja asing melalui memorandum persefahaman (MoU) dengan 10 negara sumber.

“Bagaimanapun, hanya lapan MoU masih berkuat kuasa iaitu Bangladesh, Republik Rakyat China, Indonesia, Pakistan, Thailand, Vietnam, Nepal dan Kemboja,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Kawan Chow Kon Yeow pada sesi pertanyaan lisan.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, MoU yang sudah tamat tempoh ialah dengan India dan Sri Lanka.

Katanya, pada masa ini, kerajaan muktamadkan MoU dengan India pada 13 Mac lalu dan ia dijangka dapat dimeterai sebelum berakhirnya suku pertama tahun ini.