- Iklan -
Berita

Zahid dapat semula pasport secara kekal

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan memihak kepada permohonan timbalan perdana menteri itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi hari ini berjaya mendapatkan semula pasportnya secara kekal selepas Mahkamah Rayuan membenarkan beliau untuk mendapatkan pasport antarabangsa dan pasport diplomatik secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi di luar negara.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan hakim Hanipah Farikullah sebulat suara hari ini membenarkan permohonan Zahid selepas Mahkamah Tinggi pada 3 Februari lalu menolak permohonan beliau untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal, lapor Berita Harian.

Menurut Hanipah, panel berpuas hati bahawa permohonan yang dibuat Zahid mempunyai merit.

Turut bersidang, hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Lim Chong Fong.

"Mahkamah sudah meneliti hujahan pemohon, oleh itu membenarkan permohonan ini," katanya.

Permohonan semakan Zahid itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.

Sementara itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Zahid, ketika ditemui selepas prosiding berkata, jaminan RM2 juta yang dikenakan mahkamah tinggi sebelum ini dikekalkan.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah (kini hakim mahkamah rayuan) sebelum ini hanya membenarkan pelepasan sementara dokumen itu untuk Zahid, bagi urusan memohon pasport diplomatik dan seterusnya menyerahkan semula kedua-dua pasport itu kepada mahkamah selepas segala urusan permohonan diplomatik selesai.

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, membabitkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

Berdasarkan notis usul yang difailkan pada 13 Februari lalu, Zahid memohon pelepasan pasport dipertimbangkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan supaya ia dapat dilepaskan secara penuh dan kekal, dengan apa-apa syarat sewajarnya yang dikenakan oleh mahkamah itu.

“Sebagai seorang individu yang menjawat antara jawatan tertinggi dalam negara, ia dilihat tidak praktikal dan rumit untuknya memohon ke mahkamah setiap kali ingin melakukan tugasan ke luar negara.

“Justeru, adalah wajar Mahkamah Rayuan mempertimbangkan bahawa kelulusan permohonan itu akan membawa kebaikan dan kesinambungan kepada pentadbiran negara yang menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Zahid juga berkata permohonan itu adalah mala fide atau prejudis, dan berjanji akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menyelesaikan kes mahkamahnya.