- Iklan -
Berita

Hanya individu mampu beri sumbangan kepada organisasi akan dilantik, Zahid pertahan ‘lantikan politik’

Zahid berkata semua lantikan adalah berdasarkan garis panduan Kabinet serta mengikut nasihat perdana menteri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Kerajaan tidak akan melantik mana-mana individu yang tidak berupaya memberi sumbangan kepada organisasi atau agensi kerajaan yang diketuainya, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid, yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah, berkata semua lantikan adalah berdasarkan garis panduan Kabinet serta mengikut nasihat perdana menteri.

"Jangan dilihat hanya kerana seseorang itu memegang jawatan politik khususnya Ahli Parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri)… ia harus dilihat dari segi latar belakang dan juga kelulusan serta pengalaman seseorang itu," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Butterworth semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pelantikan ahli politik bagi memegang jawatan dalam agensi dan organisasi kerajaan.

Mengulas mengenai pelantikan  Asyraf Wajdi Dusuki sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Ahmad Zahid berkata ia dibuat berdasarkan kepakaran, pengalaman dan kelulusan beliau.     

Beliau berkata Asyraf Wajdi bukan hanya seorang ahli politik tetapi juga adalah pegawai bank yang memiliki kepakaran dalam perbankan Islam.

"Rugi kalau ada pengalaman dan kelulusan begitu tetapi kita tidak gunakan untuk sama-sama membangunkan Mara.

“Diharapkan dengan pelantikan itu, beliau dan semua warga KKDW dapat bersama-sama membangunkan Mara," katanya.

Terdahulu, Zahid turut mengesahkan pelantikan ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad sebagai pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Shaik Hussein Mydin sebagai pengerusi Perda.

Asyraf Wajdi merupakan Setiausaha Agung Umno manakala Noraini adalah Ketua Wanita Umno.

Isu lantikan politik dalam agensi kerajaan timbul selepas Asyraff Wajdi dilantik sebagai Pengerusi Mara, Jazlan Yaakub sebagai pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) manakala Husam Musa sebagai pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.