- Iklan -
Berita

Mampukah AirAsia bertahan?

Ini kerana Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) yang diluluskan Mavcom kepada syarikat itu bagi tempoh enam bulan sepatutnya akan tamat pada 31 Mac ini.

Ahmad Mustakim Zulkifli & Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pesawat syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia yang diletakkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di Sepang, 10 Februari 2022.
Pesawat syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia yang diletakkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di Sepang, 10 Februari 2022.

Pelan penyelarasan semula yang akan dimuktamadkan AirAsia X Berhad dan Capital A Berhad, syarikat induk kepada AirAsia, bagi menangani status nota Amalan 17 (PN17) dijangka akan menjadi faktor utama yang akan menentukan sama ada operasi penerbangan kedua-dua syarikat itu boleh diteruskan atau tidak, kata pakar penerbangan Germal Singh Khera.

Beliau yang juga bekas pengarah pembangunan Suruhanjaya Penerbangan (Mavcom), berkata pelan penyusunan yang perlu dihantar kepada Bursa Malaysia Securities itu akan memberi gambaran mengenai daya ketahanan kedua-dua syarikat itu dari aspek kewangan.

Bercakap dengan MalaysiaNow, Germal berkata, faktor ini kebiasaannya akan diambil kira oleh Mavcom sebelum agensi itu memberi kata putus berhubung keputusan pembaharuan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) kepada syarikat berkenaan.

ASL ialah lesen yang memberi kebenaran kepada syarikat penerbangan untuk beroperasi di negara ini.

Pada 8 September tahun lalu, Mavcom meluluskan pembaharuan ASL AirAsia X untuk 12 bulan berkuat kuasa 1 Oktober 2022 hingga 30 September 2023.

Pada masa sama, ASL AirAsia turut diperbaharui tetapi hanya untuk tempoh enam bulan yang mana ia sepatutnya tamat pada 31 Mac ini.

"Mavcom hanya akan melanjutkan ASL AirAsia untuk tambahan enam bulan bermula 1 April 2023 hingga September 2023 sekiranya AirAsia mematuhi syarat-syarat khusus oleh Mavcom menjelang 31 Disember 2022," tulis Mavcom dalam kenyataan di laman sesawang rasminya.

MalaysiaNow sedang berusaha mendapatkan kenyataan terbaru Mavcom berhubung syarikat berkenaan. 

Untuk makluman, AirAsia X diklasifikasikan kepada status PN 17 pada 1 November 2021, manakala Capital A yang sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Group Berhad pula tergolong dalam kategori itu pada 13 Januari 2022.

AirAsia X kini diberikan tempoh masa sehingga 28 April 2023 manakala Capital A sehingga 7 Julai 2023 untuk menghantar pelan penyelarasan semula kepada Bursa Malaysia Securities untuk menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil syarikat terbabit keluar daripada status PN17.

Pada masa sama, Germal berkata, syarikat penerbangan kebiasaannya akan menghantar permohonan pembaharuan ASL kepada Mavcom bagi membolehkan mereka meneruskan operasi penerbangan.

"Pembaharuan ASL akan bergantung kepada kebolehlaksanaan pelan penyusunan semula," katanya.

"Kemudian Mavcom akan membuat penilaian.

“Andai kata pelan pelarasan itu ditolak, kemungkinan besar Mavcom juga akan menolak permohonan ASL."

Mengulas lanjut, Germal berkata, sekiranya pelan penyelarasan semula yang dikemukakan Capital A dan AirAsia X diterima, maka Mavcom akan melihat ia sebagai perkembangan positif.

"Andai kata pelan penyelarasan semula itu tidak dilihat tidak mampu mengeluarkan daripada status PN17, maka ia boleh mempengaruhi keputusan Mavcom," kata Germal sambil menambah Mavcom kebiasaannya akan mengambil tempoh masa purata 45 hingga 60 hari untuk membuat keputusan.

Dalam perkembangan lain, saham AirAsia X kembali meningkat pada 22 Mac untuk ditutup kepada  RM1.47 sesaham, mencatatkan kenaikan 12 sen atau 8.89%  berbanding RM1.35 ketika ditutup sehari sebelumnya.

Jumaat lalu harga saham AirAsia X melonjak ke paras tertinggi setahun apabila meningkat 27 sen atau 19.15% untuk ditutup kepada RM1.68, sekali gus mencetuskan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) daripada Bursa Malaysia.

Bagaimanapun, saham syarikat penerbangan itu menyusut 13 sen atau 8.78% untuk ditutup RM1.35 pada Isnin.

Sementara itu, harga saham Capital A ditutup pada 77.5 sen pada 22 Mac, tiada perubahan ketika ditutup pada hari sebelumnya.