- Iklan -
Berita

Tiada keperluan guna Akta Hasutan terhadap Mahathir, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri berkata beliau menyerahkan sepenuhnya perkara itu untuk dinilai pasukan polis, jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail tidak melihat ada keperluan untuk mengenakan tindakan Akta Hasutan terhadap Dr Mahathir Mohamad, berhubung kritikan yang disuarakan bekas perdana menteri itu kepada kerajaan. 

Bagaimanapun Saifuddin berkata beliau menyerahkan sepenuhnya perkara itu untuk dinilai pasukan polis, jika ada keperluan untuk berbuat demikian. 

“Saya serahkan sepenuhnya kepada pasukan polis, mereka yang menilai keadaan. Pada saya tak nampak apa-apa keperluan (untuk dikenakan tindakan atas Akta Hasutan).

“Paling penting sesiapa pun boleh bagi pandangan, tapi jangan melampaui batas yang menyentuh perkara terkait dengan agama, kaum, dan institusi raja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media berkenaan gesaan Ketua Umno Bahagian Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang mahu Mahathir dikenakan tindakan Akta Hasutan berikutan kritikan bekas perdana menteri itu kepada kerajaan hari ini. 

Namun Saifuddin berkata pihaknya mengikuti dengan dekat berkenaan hasrat Mahathir untuk mengadakan perhimpunan dan diikuti dengan mengadakan proklamasi yang memberi gambaran bahawa kuasa politik dan ekonomi Melayu semakin lemah di bawah pentadbiran kerajaan.

“Saya percaya rakyat boleh lihat sendiri apakah munasabah dakwaan itu ketika Tun (Mahathir) sendiri mempunyai peluang selama 22 tahun 22 bulan, terlalu banyak boleh dibuat kalau nak bela orang Melayu supaya tak berlaku perkara yang Tun bimbangkan. 

“Jadi tidak munasabah kebimbangan itu berlaku dalam tempoh empat bulan ini,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin menghadiri Townhall Ikon Madani anjuran Yayasan Prihatin Nasional yang dihadiri kira-kira 2,000 pelajar dari Universiti Teknologi Mara dan Universiti Pertahanan Awam Nasional. 

Menyentuh, mengenai jaminan kerajaan untuk menghapuskan peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) 1971 yang menyekat kebebasan mahasiswa, beliau berkata perkara itu akan diperhalusi dengan lebih lanjut.

“Namun saya ingatkan mereka tak boleh letakkan itu sebagai satu-satunya alasan untuk tidak aktif dalam menyuarakan masalah rakyat.. mereka boleh gunakan apa sahaja platform yang ada untuk mahasiswa,” katanya.