- Iklan -
Berita

Penjenamaan semula KLIA, klia2 tidak libatkan peruntukan kerajaan, kata Loke

Anthony Loke berkata kos penjenamaan tersebut termasuk dari segi pemasaran dan papan tanda, akan ditanggung pihak Malaysia Airports Holdings Bhd.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail penumpang beratur di kaunter tiket di klia2 di Sepang.
Gambar fail penumpang beratur di kaunter tiket di klia2 di Sepang.

Kos penjenamaan semula terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2, tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada Kementerian Pengangkutan.

Menterinya Anthony Loke berkata kos penjenamaan tersebut termasuk dari segi pemasaran dan papan tanda, akan ditanggung pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

“Dari segi penjenamaan semula KLIA dan klia2 kepada Terminal 1 dan Terminal 2, itu permohonan daripada MAHB, ia tiada kena-mengena dengan kerajaan. Pihak MAHB memohon supaya ia dipertimbangkan.

“Ia lebih kepada pemasaran lapangan terbang tersebut. Kos penjenamaan ini tidak melibatkan peruntukan daripada pihak kementerian,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 bagi kementerian itu, di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat semalam.

Mengenai sebuah kapal kargo berdaftar di Malaysia, MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak Januari lepas, Loke berkata siasatan masih dijalankan dan sehingga kini, belum ada petunjuk berkenaan lokasi kapal tersebut. 

Loke berkata pihaknya dengan kerjasama Kementerian Luar, akan terus memantau perkembangan siasatan berhubung kehilangan kapal tersebut.

Pada 9 Januari lepas, kapal kargo yang membawa muatan batang paip bernilai RM726,205 berserta lima kru, dipercayai hilang di perairan Indonesia dan laporan berhubung kejadian berkenaan dibuat ejen kapal tersebut pada hari sama.

Sementara itu, beliau memaklumkan pihaknya sedang dalam proses memuktamadkan perolehan 10 set tren bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS), serta 12 set bagi perkhidmatan Komuter Utara dengan peruntukan masing-masing berjumlah RM574 juta dan RM297 juta.

Beliau berkata perolehan itu bagi menambah kekerapan perkhidmatan yang disediakan Kereta Api Tanah Melayu Bhd (KTMB) khususnya ke utara tanah air.

“Sama ada kita gunakan model kita beli terus melalui perolehan tender atau pun ‘lease’ model iaitu proses sewaan dengan pembekal sewakan (tren) kepada kita sebagai operator dan mereka bertanggungjawab untuk penyelenggaraan,” katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan peruntukan berjumlah RM1.54 bilion bagi Kementerian Pengangkutan dalam Belanjawan 2023 di peringkat jawatankuasa, melalui undian suara majoriti.