- Iklan -
Berita

KDN terima 688 permohonan warganegara libat anak lahir di luar negara

Saifuddin Nasution Ismail berkata jumlah itu merupakan daripada keseluruhan 150,000 permohonan warganegara yang diterima kementerian itu sehingga kini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail. Gambar: Bernama

Kementerian Dalam Negeri (KDN) setakat ini menerima sebanyak 688 permohonan taraf kewarganegaraan bagi anak yang lahir di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing. 

Menteri berkenaan Saifuddin Nasution Ismail berkata jumlah itu merupakan daripada keseluruhan 150,000 permohonan warganegara yang diterima kementerian itu sehingga kini. 

“Kita yakin di luar sana masih ada, cuma mereka belum memasukkan permohonan lagi…perkara ini adalah di bawah Perkara 15 (2) permohonan warganegara bagi anak yang lahir di luar negara.

“Kita telah membahagi-bahagikan permohonan ini dan daripada 150,000 itu… ternyata kategori yang lebih tinggi adalah anak tanpa kerakyatan atau anak yang lahir di luar ikatan perkahwinan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang ingin tahu jumlah permohonan diterima, membabitkan ibu yang memohon warganegara bagi anak yang dilahirkan di luar negara.  

Menjawab soalan tambahan Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berkenaan usaha kerajaan menyelesaikan isu kanak-kanak tidak mempunyai kewarganegaraan di kawasan pedalaman, Saifuddin berkata KDN menubuhkan pasukan jawatankuasa khas untuk pergi ke kawasan tersebut, bagi membantu urusan permohonan kerakyatan itu.

Beliau berkata KDN juga menyasarkan untuk memuktamadkan 948 permohonan kewarganegaraan yang diterima di Sarawak, sebelum Jun ini.

Menjawab soalan asal Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai bila pindaan Perlembagaan Persekutuan dapat dibuat berkenaan kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, katanya ia dijangka dapat dibentangkan pada September ini. 

“Jemaah Menteri setuju bentuk jawatankuasa teknikal dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan ada keanggotaannya.

“Serentak itu, jawatankuasa ini telah mengadakan pelbagai perbincangan dalaman dan kita jangkakan mereka akan memerlukan enam bulan, bermaksud September tahun ini kita akan dapat membentangkannya… saya optimis hal ini kita dapat sempurnakannya mengikut jadual,” katanya.