- Iklan -
Berita

Pejabat PM beri maklum balas selepas PAS bantah persembahan ‘Thai Hot Guy’

Ia mengatakan premis itu didaftarkan di bawah lesen restoran yang tamat tempoh, dan tidak mempunyai permit untuk menjalankan aktiviti hiburan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Privacy Club Tun Razak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Gambar: Facebook
Privacy Club Tun Razak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Gambar: Facebook

Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata kelab malam di Kuala Lumpur yang akan menganjurkan pertunjukan “Thai Hot Guy” sempena pembukaannya tidak mempunyai lesen hiburan dan tiada permohonan dikemukakan untuk menjalankan aktiviti hiburan.

Setiausaha politik perdana menteri, Azman Abidin dalam satu kenyataan berkata, laporan sudah diterima mengenai acara yang dijadualkan pada 6 petang, 30 Mac anjuran Privacy Club Tun Razak di Jalan Tun Razak. 

Beliau berkata, siasatan awal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati premis itu dilesenkan sebagai restoran kepada syarikat Beijing 9 Sdn Bhd.

“Walau bagaimanapun lesen restoran syarikat terbabit telah tamat pada 4 Februari 2021 yang lalu.

“Premis itu juga tidak mempunyai lesen hiburan dan juga tiada sebarang permohonan lesen hiburan atau permohonan untuk menjalankan aktiviti hiburan,” tambahnya. 

Acara itu, yang menampilkan persembahan "lelaki sasa dari Thailand yang berpakaian dalam wanita”, sebelum ini dikecam PAS yang menyifatkannya sebagai "tidak sensitif", "tidak bermoral" dan "menjijikkan".

Parti Islam itu juga mempersoalkan penggunaan nama bekas perdana menteri pada kelab malam itu, menganggapnya sebagai satu penghinaan.

Azman berkata DBKL juga dalam proses semakan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan syarat-syarat oleh penganjur.