- Iklan -
Berita

Najib diberi pelepasan dapatkan rawatan di HKL, kata Saifuddin

Saifuddin Nasution Ismail berkata Najib Razak mendapat kebenaran daripada Jabatan Penjara dan diberi pelepasan selama beberapa hari bagi tujuan itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak.
Bekas perdana menteri Najib Razak.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengesahkan bekas perdana menteri Najib Razak sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkaitan kesihatannya.

Beliau berkata Najib mendapat kebenaran daripada Jabatan Penjara dan diberi pelepasan selama beberapa hari bagi tujuan itu.

“Ini adalah permohonan biasa, saya dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Penjara bahawa beliau (Najib) dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini.

Semalam beberapa media melaporkan Najib menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk beberapa hari selepas dipercayai mengalami jangkitan pada paru-paru.

Najib mula menjalani hukuman penjara bermula Ogos tahun lepas selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Saifuddin Nasution ketika diminta mengulas perkembangan kesihatan Najib menegaskan bahawa semua tahanan mempunyai hak untuk mendapatkan rawatan, yang akan diuruskan oleh Jabatan Penjara.