- Iklan -
Berita

Guan Eng buat laporan polis berhubung isu batal pengecualian cukai Yayasan Albukhary

Beliau berkata laporan tersebut dibuat selepas mendapati kenyataan Muhyiddin mengulangi fitnah terhadap beliau dalam satu kenyataan media dan sidang media pada 11 dan 12 Mac lalu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng. Gambar: Bernama
Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng. Gambar: Bernama

Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berhubung tuduhan membatalkan pengecualian  cukai yang telah diluluskan kepada Yayasan AlBukhary.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata laporan tersebut dibuat selepas mendapati kenyataan Muhyiddin mengulangi fitnah terhadap beliau dalam satu kenyataan media dan sidang media pada 11 dan 12 Mac lalu. 

"Saya telah berkali-kali menyatakan bahawa ini (dakwaan) tidak benar dan saya tidak pernah mengeluarkan sebarang surat untuk membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan AlBukhary.

"Saya mencabar Muhyiddin Yassin untuk tunjukkan bukti di mana saya batalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan AlBukhary," katanya ketika ditemui media sebelum membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di Kuala Lumpur hari ini. 

Menurutnya, Muhyiddin sengaja memainkan perkara ini untuk menyebarkan sentimen yang tidak sihat. 

"Beliau tahu kalau perkara ini disebarkan bahawa seorang Menteri Kewangan bukan Islam membatalkan pengecualian cukai terhadap satu Yayasan Islam yang melaksanakan tugas kerja-kerja amal, ini akan memenuhi hasrat meniup sentimen tidak sihat," katanya. 

Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin dalam kenyataan selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lepas, mendakwa kerajaan Pakatan Harapan membatalkan pengecualian pembayaran cukai yang sebelum ini diluluskan kepada Yayasan Albukhary.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa beliau tahu punca Lim yang ketika itu merupakan Menteri Kewangan, membatalkan pengecualian cukai yang diperoleh Yayasan Albukhary.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat semalam mengesahkan Lim ketika menjadi Menteri Kewangan tidak pernah membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary seperti yang didakwa.

Anwar berkata dakwaan tersebut adalah tidak benar dan hakikatnya kelulusan pengecualian cukai Yayasan Albukhary hanya dibuat pada 25 Februari 2021.

Beliau berkata mengikut Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53), pengecualian cukai bukan terletak di bawah kuasa menteri atau perdana menteri, sebaliknya ia kuasa mutlak ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri.