- Iklan -
Berita

Lebih banyak pilihan pembayaran akan diperkenalkan untuk pengangkutan awam, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata ini akan membolehkan penumpang menggunakan kad kredit atau debit, sebagai alternatif kepada kad Touch 'n Go, untuk membayar perkhidmatan pengangkutan awam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menggunakan kesempatan cuti hujung minggu untuk mencuba perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya yang baru dilancarkan pada 17 Mac lalu.
Orang ramai menggunakan kesempatan cuti hujung minggu untuk mencuba perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya yang baru dilancarkan pada 17 Mac lalu.

Sistem pembayaran terbuka untuk pengangkutan awam khususnya di bawah Prasarana Malaysia Bhd selain daripada penggunaan Touch 'n Go, akan dilaksanakan dalam masa beberapa bulan lagi, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata sistem pembayaran terbuka akan membolehkan pengguna menggunakan kad kredit atau debit sebagai pembayaran untuk menggunakan pengangkutan awam selain kad Touch 'n Go.

"Ini untuk memberi pilihan kepada pengguna selain menggunakan Touch 'n Go," katanya mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam mengenai monopoli Touch 'n Go yang mungkin ditimbang semula kerana dilihat tiada kemajuan meyakinkan dalam sistem itu.

Bercakap dalam sidang media selepas melancarkan Plaza Premium Lounge di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang semalam, Loke berkata kenyataan perdana menteri itu bukan bermaksud perkhidmatan Touch 'n Go ditamatkan.

"Kita bukan nak tamatkan Touch 'n Go, jangan kata macam kita nak bunuh Touch 'n Go. Cuma Touch 'n Go akan menjadi salah satu (pembayaran) daripada satu-satunya sekarang," katanya dan menambah pengguna juga merungut kerana tidak diberi pilihan dalam pembayaran untuk pengangkutan awam dan lebuh raya. 

Loke berkata perdana menteri memberi arahan supaya perkara itu dibincangkan dalam Kabinet dan ia memerlukan penyelesaian segera supaya membuka ruang kepada sistem pembayaran yang lain.

Untuk pengangkutan awam, katanya beliau mengarahkan agensi termasuk operator di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mengaplikasikan sistem pembayaran terbuka.

Loke berkata Prasarana diarah melaksanakan sistem pembayaran terbuka dan mereka memerlukan masa untuk mengintegrasikan sistem.

Sistem pengangkutan awam di bawah Prasarana termasuklah perkhidmatan bas, Transit Aliran Ringan (LRT), dan Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT).