- Iklan -
Berita

Harmoni bukan hak eksklusif anda, PAS pertikai Hannah Yeoh pertahan program ‘Ziarah Gereja’

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengatakan menteri belia dan sukan itu mengambil kenyataan lampau di luar konteks dalam mempertahankan program Ziarah Gereja.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama

PAS menggesa supaya program rentas agama anjuran sebuah agensi di Bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dihentikan selepas menteri yang bertanggungjawab, Hannah Yeoh memetik kenyataan pemimpin parti itu sebelum ini yang tidak menghalang umat Islam mengunjungi tempat ibadah agama lain selagi tidak mengambil bahagian dalam ritual keagamaan. 

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata tindakan Yeoh memetik kenyataan pemimpin parti Islam sebelum ini sewaktu ulasan di Parlimen semalam cuba memecahbelahkan parti itu dan sekutunya Bersatu, susulan bantahan oleh beberapa pihak ekoran poster program "Ziarah Gereja " mengajak belia datang ke gereja.

“Tindakan tersebut menjadi lebih terserlah motifnya apabila beliau tidak memberi ruang kepada wakil PAS ataupun Bersatu untuk memberi respons terhadap kenyataan beliau itu. 

“Apatah lagi menteri berkenaan tampak bercakap tentang peri pentingnya keharmonian dan persefahaman dalam masyarakat, seolah-olah ia merupakan subjek eksklusif yang tidak terpakai atau melibatkan pihak-pihak lain yang dilihat tidak sealiran dengan beliau,” katanya.

Takiyuddin berkata PAS mengalu-alukan segala usaha untuk menyemai keharmonian di kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada semua kepercayaan dan budaya. 

Akan tetapi beliau memberi amaran bahawa program seperti yang dianjurkan oleh Impact Malaysia hanya akan menggagalkan tujuannya, sambil menambah ia hanya boleh mewujudkan perbezaan yang lebih ketara serta bantahan terbuka.

Yeoh yang mempertahankan program itu semalam, memetik kenyataan timbalan presiden PAS pada 2018 mengenai orang Islam dibenarkan melawat kuil dan gereja.

Program lawatan ke gereja oleh Impact Malaysia di bawah Projek Artikel 11 itu dikritik oleh aktivis Perikatan Nasional (PN) Badrul Hisham Shaharin.

Dalam poster yang dimuat naik di Instagram, Impact Malaysia berkata ia bertujuan menyebarkan kefahaman tentang persamaan dan perbezaan antara agama.

Poster itu kemudiannya diturunkan dari platform media sosial tersebut. 

Ia turut diserang oleh Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh yang mengancam untuk menghalang sendiri program itu dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Impact Malaysia dan agensi berkaitan.

Pada Selasa, Ahli Parlimen PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata walaupun program itu pada dasarnya baik, kerajaan perlu melibatkan pakar agama seperti dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Takiyuddin hari ini berkata Yeoh harus berhenti memetik kenyataan daripada pemimpin PAS di luar konteks dan menggunakannya sebagai senjata politik.

“PAS ingin menyatakan apa yang paling penting difahami dalam hal ini adalah kenyataan- kenyataan tersebut dibuat dalam konteks bahawa semua bentuk hubungan, keterlibatan, lawatan atau sebagainya antara orang Islam dengan bukan Islam, baik secara individu atau kumpulan, hanya dibenarkan dalam perkara-perkara yang bukan ritual atau keagamaan, bukan pula terbuka penyertaannya tanpa syarat, dan segala usaha mesti dibuat bagi memastikan syarat-syarat itu tidak dilanggar,” tambahnya.