- Iklan -
Berita

Libatkan Jakim, kata ahli Parlimen PN berhubung ‘Ziarah Gereja' NGO KBS

Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari berkata, program tersebut dianggap baik pada asasnya namun akan mencetuskan kebimbangan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan membabitkan pihak agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam program “Ziarah Gereja” anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Katanya, program tersebut dianggap baik pada asasnya namun akan mencetuskan kebimbangan.

"Walaupun KBS tidak mempunyai kaitan secara langsung, tetapi ada dana dari KBS.

“Saya harap peruntukan KBS kepada NGO-NGO dipantau supaya program yang dibuat itu sesuai dengan aspirasi kerajaan," katanya ketika perbahasan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Impact Malaysia mendapat tumpuan awam selepas aktivis politik Perikatan Nasional (PN) Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bad mendedahkan program “Ziarah Gereja” yang dianjurkan Impact Malaysia.

Sebuah poster Impact Malaysia yang mengajak golongan belia bukan Kristian menyertai program itu di sebuah gereja di Klang tersebar.

Bagaimanapun, Impact Malaysia sudah memadam poster berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dari DAP membuat laporan polis terhadap Badrul susulan pendedahan berkenaan.

Impact Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pihaknya turut menganjurkan “Jom Ziarah Masjid”, dalam siri program yang dipanggil Projek Artikel 11. 

Namun menurut Fadhli, program Ziarah Gereja tidak boleh disamakan dengan program Ziarah Masjid.

Program itu turut mendapat perhatian Pemuda Umno yang memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap NGO berkenaan.