- Iklan -
Berita

Kumpulan hak asasi bandingkan pujian terhadap Michelle Yeoh dan siasatan terhadap pembuat filem tempatan

Lawyers for Liberty berkata pemimpin kerajaan bersikap munafik kerana memuji Michelle Yeoh tetapi pada masa sama menyiasat penerbit tempatan berhubung kandungan filem mereka.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Michelle Yeoh bergambar bersama trofi anugerah Oscar yang dimenanginya bagi kategori pelakon wanita terbaik pada Academy Awards ke-95 di Hollywood, Los Angeles, California, 12 Mac. Gambar: Reuters
Michelle Yeoh bergambar bersama trofi anugerah Oscar yang dimenanginya bagi kategori pelakon wanita terbaik pada Academy Awards ke-95 di Hollywood, Los Angeles, California, 12 Mac. Gambar: Reuters

Kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mempersoalkan pujian yang diberikan oleh pemimpin kerajaan kepada pelakon Michelle Yeoh atas kemenangan bersejarah di Oscar untuk filem bertajuk "Everything Everywhere All at Once", berbeza dengan penyiasatan baru-baru ini terhadap pembuat filem tempatan berhubung kandungan persembahan mereka.

Pengarah LFL Zaid Malek berkata adalah "munafik, tidak ikhlas dan bercanggah" bagi kerajaan untuk memuji pencapaian Yeoh ketika, di Malaysia, tema LGBT dalam "Everything Everywhere" akan membawa kepada penyiasatan jenayah.

"Michelle Yeoh sendiri berkemungkinan diheret untuk disoal siasat polis seperti yang sedang dilakukan terhadap pelakon 'Mentega Terbang'," tambahnya, merujuk kepada filem bebas yang disiasat atas dakwaan "provokasi agama". 

Beliau turut memetik filem "Pulau", treler yang menerima amaran daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kerana mengandungi adegan yang bersifat seksual.

“Pembikin dan penerbit filem tempatan sudah lama dibelenggu oleh penapisan keterlaluan yang dikenakan kerajaan terdahulu terhadap mereka, dan kerajaan yang kononnya reformis pimpinan Pakatan Harapan menunjukkan bahawa mereka tidak berbeza,” katanya.

"Seni, dalam apa jua bentuk atau keadaan, dilindungi di bawah kebebasan bersuara mengikut Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kerajaan untuk melindungi ekspresi seni tersebut dan tidak memberi laluan kepada kumpulan tertentu yang mahu menentukan apa yang boleh atau tidak boleh dihasilkan."

Dalam satu kenyataan, beliau berkata kemenangan Oscar Yeoh sepatutnya berfungsi sebagai "contoh yang jelas tentang kuasa kreatif yang luas yang wujud dalam Malaysia, sekiranya mereka diberi peluang untuk melakukan perkara yang sama di sini tanpa gangguan".

"Sekiranya kerajaan benar-benar mahu mengambil kredit untuk sebarang anugerah yang diperoleh oleh artis Malaysia, maka ia harus melindungi produk kebebasan kreatif dalam negara kita sendiri dengan menegakkannya sebagai sebahagian daripada hak yang dilindungi oleh Perkara 10(1)(a) perlembagaan kita."