- Iklan -
Berita

Kerajaan tak tetap harga siling tiket penerbangan, kata menteri

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, ini kerana harga tiket mengikut adalah harga dinamik.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail penumpang beratur di kaunter tiket di klia2 di Sepang.
Gambar fail penumpang beratur di kaunter tiket di klia2 di Sepang.

Kerajaan tidak akan mengawal harga tiket kapal terbang dengan menetapkan harga siling bagi syarikat-syarikat penerbangan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, ini kerana harga tiket mengikut adalah harga dinamik.

"Kalau kita kawal dari segi harga, ia akan jejaskan sektor penerbangan kerana jika mereka melihat tidak ada ‘dynamic pricing’, mereka akan kurangkan kapasiti.

"Sekiranya kapasiti dikurangkan, ia akan memberi kesan lebih buruk kepada keseluruhan ekonomi dan pengangkutan udara," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa).

Marzuk berkata, harga tiket kapal terbang melambung tinggi terutama ketika musim cuti sekolah dan ia menjadi kesukaran kepada ahli-ahli Parlimen yang ingin pulang ke kawasan masing-masing.

Isu harga tiket turut disokong oleh Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar).

Menurut Loke, kerajaan sebaliknya akan membantu syarikat penerbangan menambah fasiliti.

"Kementerian pengangkutan menggalakkan mereka (syarikat penerbangan) menambah kapasiti dan memang ada penambahan syarikat penerbangan.

"Satu syarikat baru bermula (beroperasi) dan antara laluannya ialah ke Kota Bharu," katanya.

Loke berkata, mekanisme itu akan diguna pakai menjelang musim perayaan Aidilfitri akan datang.

Harga tiket kapal terbang menjadi isu yang berulang kali diutarakan penumpang, terutama mereka yang pulang ke Sabah dan Sarawak. 

Ia dilihat menjadi semakin tidak mampu menjelang musim perayaan.