- Iklan -
Berita

MB Selangor, Negeri Sembilan milik Bersatu jika menang PRN, kata Muhyiddin

Presiden Bersatu itu berkata sekiranya PN menang, Kelantan, Terengganu dan Kedah akan kekal di bawah PAS manakala ketua menteri Pulau Pinang ditentukan berdasarkan parti mana yang mendapat kerusi terbanyak.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berucap pada perhimpunan agung tahunan ke-5 parti itu di Kuala Lumpur, 12 Mac. Gambar: Bernama
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berucap pada perhimpunan agung tahunan ke-5 parti itu di Kuala Lumpur, 12 Mac. Gambar: Bernama

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini mendedahkan jawatan Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan akan diberikan kepada parti itu sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan kedua-dua negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata rundingan membabitkan pengagihan kerusi dan jawatan penting dalam kerajaan antara parti komponen PN di enam negeri yang akan mengadakan PRN hampir dimuktamadkan dan akan diputuskan dalam masa terdekat.

"Kami dah rundingkan dengan PAS dan parti lain bahawa (jawatan MB) Kelantan, Terengganu, Kedah kekallah di bawah PAS dan insya-Allah berdasarkan tinjauan kita, Kelantan, Kedah, Terengganu kita akan sapu bersih.

Dalam rundingan itu, untuk Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan disahkan bahawa apabila menang, Selangor dan Negeri Sembilan akan diwakili oleh Bersatu sebagai Menteri Besar manakala bagi Pulau Pinang, kita yakin boleh kurangkan jumlah kerusi lawan dan jika ditakdirkan menang, jawatan ketua menteri akan ditentukan berdasarkan parti mana yang mendapat kerusi terbanyak," katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022 Kali Kelima di Kuala Lumpur hari ini. 

Muhyiddin yang juga pengerusi PN berkata, usaha menawan Selangor daripada Pakatan Harapan akan diterajui oleh Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin, Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Bersatu Selangor Abdul Rashid Ansari sebagai penyelaras bersama. 

Pada sidang media selepas itu, Muhyiddin berkata status akaun Bersatu yang kini dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan menjejaskan jumlah kerusi yang akan ditandingi Bersatu dalam PRN nanti.

Beliau mengakui usaha menawan Selangor bukan mudah, apatah lagi dengan akaun parti yang dibekukan namun Bersatu dan PN mempunyai strategi khusus berdepan situasi sukar tersebut.

Berhubung status permohonan Pejuang untuk bersama-sama dengan PN dalam PRN yang akan datang beliau berkata perkara itu akan dibincangkan oleh Majlis Tertinggi PN dalam satu mesyuarat yang akan diadakan pada minggu ini. 

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pagoh itu turut memaklumkan beliau tidak akan menarik balik dakwaannya terhadap bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebagai individu yang bertanggungjawab membabitkan keputusan mengenakan semula cukai ke atas Yayasan AlBukhary.

Muhyiddin mendakwa selaku Menteri Kewangan, Lim bertanggungjawab ke atas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pastinya keputusan untuk mengenakan semula cukai dan cukai penalti 45% ke atas Yayasan AlBukhary iaitu sebuah pertubuhan yang melakukan kerja-kerja amal adalah di bawah tanggungjawabnya juga.

Semalam, Lim memberi tempoh sehingga Rabu (15 Mac) kepada Muhyiddin untuk memohon maaf kerana menuduhnya membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan AlBukhary semasa menjadi menteri kewangan atau berdepan tindakan undang-undang kerana memfitnah.