- Iklan -
Berita

KPT teliti pinda Seksyen 15 Auku benar mahasiswa berpolitik

Pindaan itu antara lain  memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik termasuk menjadi ahli serta calon kepada mana-mana parti politik.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pindaan Seksyen 15 Auku antara lain  memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik termasuk menjadi ahli serta calon kepada mana-mana parti politik.
Pindaan Seksyen 15 Auku antara lain memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik termasuk menjadi ahli serta calon kepada mana-mana parti politik.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang melakukan pindaan terhadap Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 bagi memperkasakan gerakan mahasiswa di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mohammad Yusof Apdal berkata pindaan itu antara lain  memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik termasuk menjadi ahli serta calon kepada mana-mana parti politik.

“Di samping itu juga, mereka (mahasiswa) diberikan tanggungjawab penuh berhubung kait gerakan mahasiswa di IPTA (Institusi Pengajian Tinggi Awam) dan IPTS (Institusi Pengajian Tinggi Swasta) selain urusan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Chow Yu Hui (PH-Raub) berkenaan autonomi kepada mahasiswa pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa yang sama, Yusof berkata KPT kini sedang membentuk satu jawatankuasa khas yang akan bertanggungjawab membuat semakan dan kajian secara mendalam ke atas dasar-dasar pendidikan tinggi nasional. 

Beliau berkata matlamat dan mandat utama jawatankuasa itu adalah untuk melihat kekurangan, kelemahan dan kekuatan dasar sedia ada dan seterusnya memberikan saranan serta pandangan mereka.

“Dasar-dasar yang dilihat sudah tidak relevan, akan dihentikan. Dasar-dasar yang dilihat lemah akan ditambah baik dan diperkemas. Pada masa yang sama, dasar-dasar baharu yang dilihat relevan dan perlu berdasarkan cabaran dan perkembangan semasa, akan dicadangkan.

“Semua ini bertujuan memastikan pada peringkat dasar dan polisi, kita mempunyai hala tuju dan pendirian yang jelas, kemas dan terbaik,” katanya.

Menurut Yusof, keahlian jawatankuasa pula akan melibatkan tokoh dalam pendidikan tinggi dan tokoh terkemuka industri yang boleh menyumbang idea serta buah fikiran yang bernas secara holistik bagi meningkatkan kualiti dan prestasi penyampaian pendidikan tinggi.

Katanya jawatankuasa berkenaan akan diperuntukkan masa tiga bulan untuk mengemukakan dapatan dan saranan penambahbaikan yang bakal menjadi asas pembangunan pelan induk pendidikan tinggi negara.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan asal Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang bertanyakan tentang langkah-langkah yang dilaksanakan kerajaan untuk merealisasikan reformasi pendidikan dalam kalangan institut pengajian tinggi di negara ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.