- Iklan -
Berita

Ramasamy dakwa sekolah kebangsaan amalkan 'diskriminasi etnik'

P Ramasamy mendakwa terdapat halangan yang menyebabkan pelajar bukan Melayu hilang minat untuk menguasai bahasa ibunda mereka.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mendakwa terdapat ‘kesukaran’ dalam pengajaran bahasa Tamil dan Mandarin di bawah program bahasa ibunda murid di sekolah kebangsaan.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mendakwa terdapat ‘kesukaran’ dalam pengajaran bahasa Tamil dan Mandarin di bawah program bahasa ibunda murid di sekolah kebangsaan.

Hanya sebulan selepas menggesa supaya monopoli kaum Melayu dalam perkhidmatan awam ditamatkan, seorang pemimpin DAP kini menyerang pula sekolah kebangsaan yang dikendalikan kerajaan, mengatakan mereka mengamalkan diskriminasi terhadap etnik bukan Melayu.

“Selain kualiti pendidikan, fenomena diskriminasi etnik bukan Melayu cukup ketara di sekolah kebangsaan,” kata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy.

Ramasamy mendakwa terdapat "kesukaran" dalam pengajaran bahasa Tamil dan Mandarin di bawah program bahasa ibunda murid (POL) di sekolah kebangsaan, menyebabkan kanak-kanak bukan Melayu hilang minat dalam kelas pendidikan bahasa ibunda mereka.

Beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa mewajibkan pelajar bukan Melayu menghadiri kelas bahasa.

"Langkah sebegitu mungkin sedikit sebanyak dapat menangani perpecahan semasa dalam dua sistem pendidikan," katanya.

Bulan lalu, Ramasamy menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mereformasikan perkhidmatan awam, sambil berkata sektor itu kini didominasi oleh orang Melayu kerana apa yang dikatakannya sebagai dasar yang dilaksanakan ketika era Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga mendakwa "diskriminasi kaum secara rahsia" menghalang prospek kenaikan pangkat untuk etnik bukan Melayu dalam sektor awam.