- Iklan -
Berita

Muhyiddin ulangi dakwaan Guan Eng batalkan pengecualian cukai Yayasan Albukhary

Bekas perdana menteri itu berkata, penafian Lim Guan Eng baru-baru ini hanyalah sekadar gimik politik kerana bimbang rakyat akan marah apabila mendapat tahu beliau membatalkan pengecualian cukai yayasan tersebut.

Azzman Abdul Jamal & Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin mencabar Lim Guan Eng tampil menjelaskan berhubung isu pengecualian cukai membabitkan Yayasan Albukhary ketika menjadi menteri kewangan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Bekas perdana menteri itu berkata, penafian Lim baru-baru ini hanyalah sekadar gimik politik kerana bimbang rakyat akan marah apabila mendapat tahu beliau membatalkan pengecualian cukai kepada yayasan yang banyak berjasa kepada orang ramai.

Menurut Muhyiddin, dakwaan yang dibuatnya adalah berdasarkan fakta selepas menerima maklumat daripada Syed Mokhtar Albukhary sendiri yang datang berjumpanya sebelum meminta Menteri Kewangan pada ketika itu, Tengku Zafrul Aziz untuk mempertimbangkan permohonan tersebut.

"Saya tahu kenapa dia (Lim) cakap begitu, sebab dia takut ia (pengecualian cukai) itu dibatalkan ketika pentadbirannya," katanya pada satu sidang media selepas Perhimpunan Agung Bersatu hari ini.

"Maklumat saya dapat itu sahih, sebab itu dia (Syed Mokhtar) datang ke kerajaan PN untuk minta supaya pengecualian (cukai) diberikan. Bukan (keputusan) oleh saya tetapi Tengku Zafrul."

Lim baru-baru ini menafikan kenyataan Muhyiddin yang mendakwa beliau yang juga pengerusi DAP itu bertanggungjawab atas pembatalan cukai yang sebelum ini diberikan kepada Yayasan Albukhary ketika menjadi menteri kewangan.

Malah, Lim yang juga ahli Parlimen Bagan turut mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya Muhyiddin tidak meminta maaf terhadap dakwaan tersebut.

Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan beliau tidak akan meminta maaf atau menarik semula kenyataan itu.

"Kenapa saya perlu tarik semula (kenyataan)? 

“Sebab ia perkara yang benar," tegasnya.