- Iklan -
Berita

Kumpulan peguam bidas sikap hipokrit PH selepas polis siasat protes pro-Muhyiddin

Lawyers for Liberty mengingatkan PH dan perdana menteri mereka sentiasa menentang Akta Perhimpunan Aman.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa pemimpin kanan dan ahli-ahli Perikatan Nasional hadir memberi sokongan kepada Muhyiddin Yassin di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lalu.
Beberapa pemimpin kanan dan ahli-ahli Perikatan Nasional hadir memberi sokongan kepada Muhyiddin Yassin di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lalu.

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) membidas pihak berkuasa berhubung siasatan yang dijalankan ke atas perhimpunan untuk menunjukkan sokongan kepada pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, dengan mengatakan ia mendedahkan bahawa pemimpin kerajaan selama ini hanya bersikap "retorik" semata-mata bagi menghalalkan perhimpunan aman.

"Siasatan polis adalah menindas, tidak perlu dan tidak sesuai dengan mana-mana kerajaan atau pemimpin yang mendakwa sebagai 'reformis'.

“Perhimpunan di SPRM berlangsung secara aman," kata pengarah LFL Zaid Malek.

"Pakatan Harapan, yang kini menjadi tulang belakang dalam kerajaan persekutuan, selama ini secara konsisten menyokong hak kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun tanpa gangguan polis. Adakah itu semua retorik semata-mata?" 

Beliau menggesa agar semua siasatan polis dihentikan serta-merta, sambil menambah Perdana Menteri Anwar Ibrahim mesti mengisytiharkan secara terbuka bahawa tiada "tindakan lanjutan terhadap mana-mana perhimpunan aman atau perhimpunan pada masa depan".

Polis berkata mereka akan memanggil pemimpin politik dan mereka yang terlibat menganjurkan perhimpunan di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya, ketika Muhyiddin disoal siasat selama lebih lapan jam sehari sebelum beliau didakwa atas tuduhan rasuah, Jumaat lalu.

LFL berkata perhimpunan dibenarkan mengikut Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan kepada semua rakyat Malaysia "tanpa mengira kumpulan politik".

"Perhimpunan awam boleh diadakan secara mendadak sebagai tindak balas segera kepada sesuatu acara, sama seperti yang berlaku dalam kes perhimpunan bagi menyokong Muhyiddin Yassin di ibu pejabat SPRM," katanya, sambil menambah bahawa Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) yang berkuat kuasa semasa pentadbiran Barisan Nasional adalah bercanggah dengan perlembagaan.

"Ini adalah pendirian yang sentiasa diambil oleh PH sewaktu menjadi pembangkang. PH menegaskan bahawa ia adalah hak asasi yang dilindungi di bawah Perlembagaan kita yang tidak boleh disekat oleh APA.

“Adalah ini jelas sikap kepura-puraan dan ‘double standard’ bagi kerajaan pimpinan PH untuk mengetuai tindakan keras terhadap perhimpunan awam secara aman yang diadakan oleh pembangkang sekarang.”