- Iklan -
Berita

Keluarga bergelut cari dana, anak terima tawaran bermain bola sepak di Sepanyol

Azzad Athary Rafzan dan keluarga berusaha sedaya mungkin untuk mencapai impiannya menjadi pemain bola sepak suatu hari nanti.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Azzad Athary Rafzan (kiri) menggelecek bola daripada pemain lawan pada kejohanan KL Cup tahun lalu.
Azzad Athary Rafzan (kiri) menggelecek bola daripada pemain lawan pada kejohanan KL Cup tahun lalu.

Seorang pelajar 11 tahun menerima tawaran bermain bola sepak untuk satu kejohanan di Sepanyol selepas penganjur kejohanan menyaksikan sendiri bakat pemain itu, akan tetapi keluarganya bergelut untuk mencari dana bagi menampung kos perbelanjaan.

Azzad Athary Rafzan yang juga sebahagian daripada pemain yang berada dalam Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) ditawarkan bermain di TAR11 U11 Promises Football Tournament bersama sebuah pasukan di Bangkok, Thailand.

Namun menurut bapanya, Rafzan Ramli, Azzad kekurangan dana untuk menampung kos perjalanan, makan dan minum serta penginapan di negara Eropah itu.

Katanya, pasukan PFA Bangkok menyaksikan bakat yang ditonjolkan anaknya selepas dia membawa Azzad berlatih di ibu negara Thailand itu atas inisiatifnya sendiri.

"Saya dan isteri menghubungi sebuah akademi di Bangkok pada September tahun lalu untuk sesi percubaan latihan sebagai cara memberi pendedahan kepada anak saya.

"Jurulatih kelab itu menawarkan Azzad untuk bermain di sebuah kejohanan bersama akademinya pada Disember dan itulah yang dilakukannya.

"Pada awal tahun ini, kelab itu menghubungi kami dan memberikan surat jemputan untuk Azzad bermain bersama kelab itu di Sepanyol," katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, kelab bagaimanapun hanya memberikan tajaan yuran dan jersi, manakala kos lain perlu ditanggung sendiri oleh ibu bapa.

Rafzan yang juga seorang juruteknik di RapidKL itu berkata, anggaran kos untuk perjalanan anaknya berserta seorang penjaga ialah kira-kira RM35,000.

Kejohanan itu akan berlangsung selama dua hari, namun mereka perlu hadir seminggu lebih awal untuk sesi latihan dan permainan persahabatan.

Katanya, kejohanan turut disertai oleh akademi kelab-kelab terkemuka seperti Real Madrid, Barcelona dan Atletico Madrid.

Menurut Rafzan, anak bongsu daripada lima beradik itu bermain bola sepak sejak berusia enam tahun, dan dibawa ke stadium seawal usia satu tahun bagi menonton perlawanan. 

Pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Samudera Batu Caves itu bermain untuk pelbagai kejohanan tempatan seawal lapan tahun dan aktif bermain dalam Liga Suparimau di bawah kendalian Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Azzad yang gemar bermain pada posisi sayap dan penyerang pernah menyertai Singapore International Youth Cup pada 2022.

Katanya, dia sebagai ayah turut mengusahakan hobi pertukangan kayu secara separuh masa untuk mengumpul dana bagi membantu anaknya mencapai cita-cita menjadi pemain bola sepak.

"Saya ada bengkel kecil di rumah untuk saya hasilkan produk kayu namun tidak banyak yang berjaya diraih. Kebanyakannya saya gunakan simpanan kami.

“Saya ada dekati Kementerian Belia dan Sukan dan kementerian ada menyatakan sokongan terhadap inisiatif kami.

"Ada juga beberapa individu dan rakan-rakan yang menyokong kemajuan pemain pada peringkat akar umbi memberikan sumbangan. Mereka faham apa itu 'grassroot football'."