- Iklan -
Berita

BNM ada kuasa buat keputusan berkaitan OPR tanpa campur tangan kerajaan, kata Rafizi

Beliau berkata hak dan kuasa itu perlu dilaksanakan sepenuhnya manakala kerajaan akan menjalankan tugas bagi mengurangkan kesan inflasi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, 7 Mac. Gambar: Bernama
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, 7 Mac. Gambar: Bernama

Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai bidang kuasa membuat keputusan sendiri berkaitan kadar dasar semalaman (OPR) tanpa memerlukan campur tangan kerajaan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata hak dan kuasa itu perlu dilaksanakan sepenuhnya manakala kerajaan, melalui Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, akan menjalankan tugas bagi mengurangkan kesan inflasi.

“Kami (kerajaan) mengambil pendekatan yang berbeza... pada kami, penting untuk kekalkan semak dan imbang dan tidak campur tangan dalam urusan BNM... masing-masing jalankan tugas masing-masing,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Bersama Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Negeri Mengenai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Putrajaya hari ini.

Jawatankuasa Dasar Monetari BNM semasa mesyuaratnya hari ini mengumumkan bahawa OPR kekal pada 2.75%.

Mengenai IPR, Rafizi berkata kerajaan menyasarkan penyertaan 159 pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai sebahagian daripada kumpulan strategik dalam menyediakan ekosistem inisiatif itu.

"Penyertaan PBT akan membantu mempercepat pelaksanaan IPR di seluruh negara yang dikhususkan kepada golongan miskin tegar, miskin dan B40," katanya.

Pada 26 Februari lepas, kerajaan mengumumkan IPR dengan sasaran 100,000 peserta bagi meningkatkan pendapatan ketiga-tiga golongan sekali gus membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan yang ditetapkan pada RM1,900 sebulan.