- Iklan -
Berita

Tak puas hati? Bawa ke mahkamah, kata Saifuddin berhubung pengecualian Umno daripada Akta Pertubuhan

Menteri dalam negeri pertahan keputusannya, berkata jika ada pihak tidak berpuas hati boleh bawa perkara itu ke mahkamah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi

Keputusan memberi pengecualian kepada Umno mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berhubung pemilihan parti itu adalah terpakai, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata sekiranya ahli Umno yang membawa isu berkenaan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sebelum ini tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mereka boleh membawanya ke mahkamah.

“Ahli parti setelah membawa kes ke RoS, dan RoS memberi satu keputusan ataupun menteri telah memberi keputusan dan dia tak puas hati, dia boleh bawa ke mahkamah. Prosesnya dia kena angkat asas kenyataan dia, sediakan affidavit, kemudian pihak siapa dinamakan defendan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Bangunan Parlimen semalam.

Terdahulu ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN), Saifuddin berkata pengeculian yang diberikan kepada Umno itu dibuat berdasarkan Seksyen 70 Akta 832.

"Seksyen 70 akta itu memberi (kuasa) secara khusus kepada menteri untuk membuat beberapa pengecualian dan keputusan yang saya buat terarah kepada pengecualian pematuhan Seksyen 13 akta yang sama," katanya.

Saifuddin dalam kenyataan kelmarin berkata KDN memberi pengecualian kepada Umno daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta 832, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti itu tahun ini.

Pengecualian itu diberi mengikut Seksyen 70 akta berkenaan yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta 832.