- Iklan -
Berita

Lebih 47,000 mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan sementara

Lebih 45,000 daripadanya berada di Johor.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penduduk meredah air banjir di hadapan Dataran Gemilang di Yong Peng, Johor pada 4 Mac lalu.
Penduduk meredah air banjir di hadapan Dataran Gemilang di Yong Peng, Johor pada 4 Mac lalu.

Lebih 47,000 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri, dengan Johor masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi setakat 8 pagi ini.

Di Johor, bilangan mangsa meningkat kepada 45,048 orang pagi ini berbanding 42,852 pada malam semalam, meskipun banjir mulai surut di beberapa daerah.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 35,099 orang dipindahkan, diikuti Muar dengan 4,094 mangsa dan Tangkak dengan 2,436 orang.

JPBN berkata keadaan banjir di beberapa daerah seperti Mersing, Kota Tinggi, Kluang dan Segamat pula makin surut.

Sebanyak 10 sungai masih melepasi paras bahaya antaranya Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) yang kini berada di paras 19.94 meter (m); Sungai Muar di Buloh Kasap (Segamat) di paras 9.30m dan Sungai Muar di Bukit Kepong (Muar) di paras 4.96m dan cuaca untuk seluruh daerah di negeri berkenaan hari ini dijangka cerah. 

Di Pahang, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir pada pagi ini kekal dengan 2,248 mangsa daripada 659 keluarga dan ditempatkan di 15 PPS sekitar Rompin.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan Sungai Keratong di Rompin masih melebihi paras bahaya pagi ini.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir di Jasin turun kepada 523 mangsa daripada 141 keluarga pagi ini berbanding 557 mangsa daripada 149 keluarga malam tadi dan kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS.

Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah menempatkan seramai 193 mangsa, SK Parit Penghulu, (142), SK Seri Mendapat (32), SK Sungai Rambai (94) dan SK Parit Gantong (62).