- Iklan -
Berita

Bekas MB Kedah Syed Razak meninggal dunia

Syed Razak menghembuskan nafas terakhir pada usia 79 tahun di sebuah hospital swasta di Sungai Petani pukul 10.30 pagi tadi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri besar Kedah Syed Razak Syed Zain menghembuskan nafas terakhir kerana masalah kesihatan pada usia 79 tahun di sebuah hospital swasta di Sungai Petani pagi tadi. Gambar: Facebook
Bekas menteri besar Kedah Syed Razak Syed Zain menghembuskan nafas terakhir kerana masalah kesihatan pada usia 79 tahun di sebuah hospital swasta di Sungai Petani pagi tadi. Gambar: Facebook

Bekas Menteri Besar Kedah Syed Razak Syed Zain meninggal dunia kira-kira 10.30 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Sungai Petani.

Allahyarham yang dilantik sebagai menteri besar Kedah kelapan pada 1999 hingga 2005 menghembuskan nafas terakhir kerana masalah kesihatan pada usia 79 tahun.

Bekas setiausaha akhbarnya Boon Som Inong berkata beliau akan sentiasa mengenang Syed Razak yang sentiasa ingin mendampingi rakyat.

“Antaranya beliau (Syed Razak) pernah berkata 'di mana ada rakyat, di situlah pejabat kita'. Beliau juga pernah berpesan antara syarat menjadi orang politik adalah sebahagian gaji kita ini termasuk habuan orang memaki dan mengata," katanya kepada pemberita di Sungai Petani hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Jamil Khir Baharom memaklumkan bahawa pemergian Syed Razak merupakan satu kehilangan besar buat seluruh rakyat Kedah.

“Tidak dapat dinafikan sumbangan beliau semasa menjadi menteri besar Kedah dan beliau merupakan seorang pemimpin yang berdedikasi tinggi dan berjiwa kental. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham,” katanya.

Sementara itu, rakan Allahyarham, Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga bekas menteri besar Kedah berkata pemergian Syed Razak memberi kesan kepada dirinya kerana beliau merupakan rakan baiknya.

“Saya mengenali Allahyarham sebelum beliau menceburkan diri dalam bidang politik lagi dan semangat cintanya terhadap Umno sangat besar. Walaupun dalam keadaan uzur, beliau tetap turun berkempen untuk parti di Kuala Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lepas.

“Beliau seorang yang baik dan akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang memiliki visi dan misi dalam memajukan Kedah dan beliau akan dirindui,” katanya.