- Iklan -
Berita

Mengapa Umno dikecualikan daripada Akta Pertubuhan, soal PN

Ketua whip PN ingatkan isu ini libatkan kepentingan awam, gesa Saifuddin Nasution beri penjelasan mengapa Umno dibenar untuk tidak pertandingkan jawatan tertinggi.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera Umno berkibar ketika pilihan raya 2018. Hari ini di Dewan Rakyat, Perikatan Nasional mempersoalkan mengapa menteri dalam negeri mengecualikan Umno daripada Akta Pertubuhan, berhubung keputusan Umno tidak mahu mempertandingkan jawatan tertingginya. Gambar: AFP
Bendera Umno berkibar ketika pilihan raya 2018. Hari ini di Dewan Rakyat, Perikatan Nasional mempersoalkan mengapa menteri dalam negeri mengecualikan Umno daripada Akta Pertubuhan, berhubung keputusan Umno tidak mahu mempertandingkan jawatan tertingginya. Gambar: AFP

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail didesak menjelaskan kriteria yang dipertimbangkan dalam memberikan pengecualian kepada Umno berhubung keputusan parti itu untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden.

Pada sesi Dewan Rakyat hari ini, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan turut mendedahkan satu surat bertarikh 2 Mac daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menyatakan mereka mendapati usul tambahan yang dibuat pada Perhimpunan Agung Umno 2022 ialah tidak teratur dan bercanggah dengan perlembagaan parti itu.

"Ini adalah satu isu kepentingan awam. Kalau inilah amalan yang dilakukan, adakah pertubuhan lain boleh mencontohi perkara ini?

"Adakah ini satu binding precedent kepada semua pertubuhan? Ini perkara yang penting untuk dijelaskan pihak kerajaan," katanya semasa perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata beliau menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk mengecualikan Umno daripada klausa dalam Akta Pertubuhan.

Setiausaha agung PKR itu berkata, berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966, beliau memutuskan untuk mengecualikan parti itu daripada pematuhan peruntukan di bawah Seksyen 13 Akta Pertubuhan.

Umno meluluskan usul tambahan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti itu pada pemilihan akan datang.

Ia sekali gus menyelamatkan karier politik Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan yang merupakan penyandang kepada kedua-dua jawatan tersebut.

Ia dibantah oleh beberapa pimpinan termasuk bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno. 

Beliau mendesak agar surat RoS berhubung keabsahan usul itu didedahkan selepas Zahid mengumumkan parti itu sudah mendapat kelulusan.