- Iklan -
Berita

Lebih 53,000 mangsa dipindahkan akibat banjir di 3 negeri

Johor terus merekodkan jumlah mangsa tertinggi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Penduduk meredah air banjir setinggi paras lutut di Kota Tinggi, Johor, 5 Mac.
Penduduk meredah air banjir setinggi paras lutut di Kota Tinggi, Johor, 5 Mac.

Jumlah mangsa banjir di tiga negeri sedikit berkurangan dengan 53,040 ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini, berbanding hampir 55,000 orang malam tadi.

Di Johor, jumlah mangsa menurun sedikit kepada 49,410 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 50,596 orang pada 8 malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor menerusi kenyataan memaklumkan seramai 14,125 keluarga ditempatkan di 269 PPS di kesemua 10 daerah di negeri itu.

Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas dengan 20,767 mangsa daripada 5,809 keluarga; diikuti Segamat dengan 11,023 orang (3,253 keluarga); Kluang 4,770 mangsa (1,376 keluarga); Muar 4,625 mangsa (1,358 keluarga); dan Kota Tinggi dengan 3,160 orang  (837 keluarga).

”Turut terjejas bencana itu ialah Tangkak dengan 3,229 mangsa melibatkan 949 keluarga; Mersing 1,167 orang  (346 keluarga); Johor Bahru dengan 327 mangsa (114 keluarga); Pontian seramai 278 mangsa (68 keluarga); serta Kulai dengan 64 orang mangsa (15 keluarga)," menurut kenyataan itu. 

Cuaca di sembilan daerah di negeri itu diramalkan cerah pagi ini, kecuali Mersing yang dijangka hujan. 

Di Pahang, aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan seramai 3,029 mangsa masih berada di 21 PPS pagi ini, berbanding 3,014 orang  malam tadi. 

Rompin kekal mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 2,774 orang diikuti Temerloh dengan 226 orang di sebuah PPS manakala 29 orang lagi di sebuah PPS di Maran. 

Bacaan paras Sungai Pahang di dua lokasi iaitu Lubuk Paku, Maran dan Paloh Hinai, Pekan serta Sungai Keratong di Rompin masih melebihi paras bahaya dan hujan sepanjang hari dijangka melanda Rompin dan Maran, manakala hujan dijangka di Temerloh pada sebelah malam. 

Di Melaka, jumlah mangsa sedikit meningkat kepada 601 orang daripada 148 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 595 orang daripada 147 keluarga, 8 malam tadi.

JPBN Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 591 orang daripada 145 keluarga merupakan penduduk di daerah Jasin yang ditempatkan di lima PPS di daerah itu dan 10 mangsa dari tiga keluarga masih ditempatkan di satu PPS di Alor Gajah.