- Iklan -
Berita

Mangsa banjir seluruh negara kini hampir 50,000, Johor paling membimbangkan

Johor terus catat jumlah mangsa tertinggi dengan 44,860 diikuti Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah jambatan yang menjadi jalan pintas kepada penduduk untuk ke Jalan Chan Wing Paloh dan Kluang ditutup kerana berlakunya keretakan selepas terjejas banjir ketika tinjauan di sekitar Rumah Rakyat Bekok, Johor, 5 Mac. Gambar: Bernama
Sebuah jambatan yang menjadi jalan pintas kepada penduduk untuk ke Jalan Chan Wing Paloh dan Kluang ditutup kerana berlakunya keretakan selepas terjejas banjir ketika tinjauan di sekitar Rumah Rakyat Bekok, Johor, 5 Mac. Gambar: Bernama

Keadaan banjir di beberapa negeri semakin membimbangkan dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara meningkat kepada 48,989 orang setakat pagi ini.

Johor terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 44,860 orang diikuti Pahang (2,978), Negeri Sembilan (587), Melaka (493) dan Selangor (71).

Di Johor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan seramai 13,029 keluarga telah ditempatkan di 260 PPS di 10 daerah yang terjejas dengan bencana tersebut. 

Menurut kenyataan JPBN itu, Batu Pahat merupakan antara daerah paling ramai penduduk teruk terjejas banjir dengan sejumlah 14,030 orang daripada 4,084 keluarga, diikuti Segamat dengan 13,334 orang (3,897 keluarga) dan Kluang, 5,296 mangsa (1,533 keluarga).

Di Pahang, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini seramai 2,978 orang berbanding 2,860 orang malam tadi, yang ditempatkan di 23 PPS.

Daerah Rompin kekal merekodkan mangsa paling ramai iaitu 2,615 orang di 20 PPS diikuti Temerloh (305 orang, sebuah PPS) dan masing-masing 29 mangsa di sebuah PPS di Bera serta Maran. 

Di Melaka, jumlah mangsa meningkat lagi kepada 493 orang daripada 134 keluarga setakat pukul 8 pagi ini berbanding 448 mangsa daripada 118 keluarga pada 8 malam tadi.

Sekretariat JPBN dalam satu kenyataan berkata kesemua mangsa terjejas ditempatkan di empat PPS di daerah Jasin iaitu 477 orang daripada 127 keluarga, manakala di Alor Gajah 16 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di sebuah PPS.

Di Selangor, jumlah mangsa banjir merekodkan peningkatan kepada 71 orang daripada 17 keluarga setakat pagi ini berbanding 58 orang daripada 14 keluarga semalam berikutan hujan lebat yang berlaku pada awal pagi tadi.

Menurut JPBN, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor melaporkan dua PPS iaitu SK Merbau Sempak dan Dewan MPKS Desa Coalfields, Sungai Buloh masih dibuka sehingga kini bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir berkenaan.

Di Negeri Sembilan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu terus merekodkan penurunan kepada 587 orang membabitkan 148 keluarga di empat PPS di Tampin, setakat pukul 8 pagi ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.