- Iklan -
Berita

Beg sampah berisi wang, Jho Low 'my man', dedah dokumen FBI terbaru babitkan ikon Hollywood

Dokumen rahsia dedah hubungan Leonardo DiCaprio dan Kim Kardashian dengan ahli perniagaan dalam buruan itu, menurut Bloomberg Businessweek.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low. Gambar: AFP
Ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low. Gambar: AFP

Dokumen rahsia Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat mendedahkan beberapa butiran tentang ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan hubungannya dengan bintang Hollywood seperti pelakon Leonardo DiCaprio dan sosialit Kim Kardashian, menurut Bloomberg Businessweek.

Akhbar yang menyemak dokumen tersebut mendedahkan, antara lain, soal siasat FBI dengan dua selebriti itu mengenai hubungan mereka dengan Low, yang digambarkan sebagai dalang skandal 1MDB berbilion dolar.

Dalam satu soal siasat pada April 2018, dokumen itu mendedahkan DiCaprio disoal mengenai permulaan hubungannya dengan Low, yang membiayai filem lakonannya "The Wolf of Wall Street" pada 2013.

DiCaprio, yang bertemu ahli perniagaan itu pada 2010, berkata mereka berjumpa di sebuah kelab malam dan beliau diberitahu wang Low datang daripada hartawan Abu Dhabi yang tidak dikenali, kata laporan itu.

Pelakon itu turut ditanya mengenai perbincangannya dengan Low tentang salah satu syarikat ahli perniagaan itu, selain e-mel yang dihantarnya kepada pelabur berpotensi yang menggambarkan Low sebagai "my friend" (kawan saya) dan "CEO" (ketua pengarah eksekutif) syarikat terbabit.

Laporan yang memetik dokumen FBI itu bagaimanapun menyatakan yang DiCaprio tidak ingat tentang perbualan atau e-mel tersebut.

Namun di sebalik ingatan kabur DiCaprio tentang beberapa peristiwa, laporan itu berkata siasatan FBI menunjukkan ada hubungan rapat antara kedua-duanya, melalui beribu-ribu mesej BlackBerry dan e-mel dikumpulkan antara mereka dan rakan-rakan mereka.

Dikatakan DiCaprio menggelar Low sebagai "my man" manakala Low memanggil DiCaprio sebagai "Ldogg", sambil menambah bahawa ibu mereka juga pernah saling bertemu.

"Saya bekerja untuknya," DiCaprio dipetik sebagai berkata kepada juri besar.

"Malah perniagaan itu juga kemudiannya menjadi sosial. Jadi kami lebih kerap berjumpa antara satu sama lain, dan ada lebih banyak interaksi."

Para penyiasat FBI turut bertanyakan kepada DiCaprio mengenai bila beliau sedar tentang kecurigaan yang menyelubungi ahli perniagaan itu, seperti dicatatkan dalam dokumen yang pelakon itu "hidup dalam dunia khabar angin".

"Beliau tidak ambil serius sehinggalah berita negatif utama mengenai Low keluar dan pasukannya memberitahunya yang ia kini serius," mereka dilaporkan berkata.

Dokumen itu juga menyatakan insiden di mana Low didakwa berjanji untuk mendermakan karya seni oleh Roy Lichtenstein untuk kutipan dana yang dirancang oleh DiCaprio, yang mana karya seni itu tidak pernah muncul.

"DiCaprio mula menjauhkan diri daripada Low selepas itu. Beliau malu," tulis ejen FBI.

Sementara itu, Kardashian dalam soal siasat pada Februari 2019 berkata Low telah memberikannya AS$100,000 untuk bunga api pada majlis perkahwinannya dengan pemain bola keranjang Kris Humphries, selain menawarkan karya Jean-Michel Basquiat kepadanya beberapa tahun kemudian.

Kardashian juga menceritakan kejadian di mana beliau dan beberapa yang lain, termasuk penerbit bersama "Wolf of Wall Street" Riza Aziz dan Joey McFarland, berada di kasino Las Vegas dengan Low.

Katanya beliau cuba menyerahkan wang kemenangannya sebanyak AS$350,000 kepada Low pada penghujung malam, tetapi ahli perniagaan itu memberitahunya untuk menyimpan cip-cip itu.

Kardashian diberikan AS$250,000 dalam apa yang beliau beritahu FBI sebagai beg sampah yang diisi dengan wang kertas AS$100, selain lagi AS$100,000 juga dalam beg sampah berisi wang tunai semasa ke ke Las Vegas sekali lagi untuk berpesta dengan Low.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.