- Iklan -
Berita

Parti politik mungkin dibenar tubuh cawangan dalam universiti, kata menteri

Khaled Nordin berkata, pelbagai pindaan sudah dibuat terhadap Auku yang memberikan lebih banyak kebebasan kepada pelajar dalam menjalankan kegiatan politik.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin menjawab pertanyaan ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, 2 Mac. Gambar: Bernama
Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin menjawab pertanyaan ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, 2 Mac. Gambar: Bernama

Parti politik mungkin dibenarkan membuka cawangan dalam universiti setelah kerajaan membuat pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971. 

Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin berkata, pelbagai pindaan sudah dibuat terhadap Auku yang memberikan lebih banyak kebebasan kepada pelajar dalam menjalankan kegiatan politik.

"Kita lakukan pelbagai pindaan kepada Auku yang melibatkan soal kegiatan pelajar dan urus tadbir universiti.

“Memang kita memberi kebebasan kepada pelajar untuk sertai parti politik termasuk di dalam atau luar kampus.

"Semua perkara itu dilonggarkan dan kemungkinannya termasuklah perkara yang dicadangkan," katanya semasa sesi Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Mersing Muhammad Islahuddin Abas yang bertanya sama ada kerajaan akan membenarkan parti politik membuka cawangan di universiti.

Sebelum itu, beliau bertanya mengenai kemungkinan lantikan naib canselor di universiti awam diadakan secara undian oleh kakitangan universiti.

Khaled berkata, lantikan naib canselor akan dibuat oleh menteri selaras dengan amalan sedia ada, mengikut ketetapan Auku.

Khaled sebelum ini menegaskan, kerajaan tidak bercadang memansuhkan Auku.

Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berjanji untuk memansuhkan akta berkenaan.

Kerajaan pada 2012 pernah meminda Auku dengan memberikan kebebasan kepada mahasiswa terlibat dalam aktiviti politik di luar kampus, dan mengekalkan kebebasan kampus daripada aktiviti politik.