- Iklan -
Berita

Laporan polis terhadap projek SMG RM700 juta, MB Selangor nafi salah guna kuasa

Amirudin yang merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua berkata beliau dan Izham mewakili kepentingan kerajaan negeri dalam projek tersebut.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari. Gambar: Facebook
Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari. Gambar: Facebook

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hari ini menafikan dakwaan konflik kepentingan membabitkan dirinya dan seorang exco negeri selepas Perikatan Nasional (PN) membuat laporan polis berhubung projek Selangor Maritime Gateway (SMG) bernilai RM700 juta.

Sebelum itu, Ketua Penerangan PN Selangor Mohd Shukor Mustaffa mempersoalkan jawatan Amirudin dan exco Izham Hashim sebagai pengarah dalam syarikat Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB).

"Syarikat ini dianugerahkan projek SMG melibatkan pembersihan dan pembangunan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer dari Mid Valley di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang yang dikatakan menelan belanja RM700 juta. 

"Laporan polis bukanlah untuk menuduh sesiapa. Kami mahu siasatan dijalankan," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang. 

Amirudin yang merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua pada satu sidang media petang ini berkata beliau dan Izham mewakili kepentingan kerajaan negeri dalam projek tersebut. 

Katanya, projek itu diilhamkan oleh bekas MB, Khalid Ibrahim sebelum diteruskan oleh penggantinya Mohamed Azmin Ali dengan pinjaman RM45 juta kepada LLSB.

"Saya tak rasa ada timbul konflik kepentingan sebab ia (LLSB) anak syarikat kerajaan negeri," katanya.

Tambah beliau, Berjaya Land akan membiayai projek itu sepenuhnya sementara negeri hanya menyediakan tanah dan pihaknya mengenalpasti 500 ekar tanah untuk pembangunan projek itu.

Shukor pada sidang medianya mendakwa laporan dibuat bagi menyiasat salah guna kuasa, tadbir urus dan konflik kepentingan dan mendakwa Amirudin menggunakan kedudukan beliau sebagai menteri besar untuk menganugerahkan projek itu.

Shukor berkata, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut akan dibuat, bergantung kepada perkembangan laporan polis hari ini.

Isu tersebut sebelum ini didedahkan oleh Setiausaha Agung Parti Hijau Malaysia, Abdul Razak Ismail. 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan LLSB Syaiful Azmen Nordin dalam satu kenyataan hari ini berkata, kedudukan Amirudin dan Izham sebagai mewakili kepentingan kerajaan negeri. 

Katanya, LLSB merupakan anak syarikat milikan penuh Menteri Besar Incorporated (MBI). 

Tambahnya sebanyak 98 syarikat dijemput semasa proses Request For Proposal bagi tanah yang dikenal pasti. 

Katanya, tiada syarikat yang berminat dan menepati kriteria yang ditetapkan memandangkan keadaan tanah yang memerlukan kos pemulihan dan infrastruktur yang tinggi. 

"Susulan itu LLSB telah menerima cadangan daripada Berjaya Land Berhad untuk menjalin kerjasama strategik membangunkan Sungai Klang secara holistik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Projek itu bertujuan menguruskan masalah pencemaran dan banjir membabitkan kawasan yang terkesan teruk dengan bencana itu, antaranya Bukit Lanchong dan Taman Sri Muda.